Mampukah Onn Hafiz ubah momentum ekonomi kepada undi?
Mampukah Onn Hafiz ubah momentum ekonomi kepada undi?

Cabaran dihadapi kerajaan negeri ialah sama ada momentum ekonomi Johor dapat diterjemahkan kepada sokongan politik berkekalan. PRN Johor akan datang dilihat lebih daripada sekadar pertandingan rutin. Ia sedang berkembang menjadi ujian sama ada transformasi ekonomi pesat, kestabilan politik dan tadbir urus berasaskan pembangunan masih mencukupi untuk meraih sokongan pengundi dalam persekitaran politik semakin kompetitif. Fokus dalam ujian itu ialah Onn Hafiz Ghazi.

Sejak dilantik sebagai menteri besar pada Mac 2022 susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor, beliau semakin sinonim dengan agenda pembangunan negeri. Penguasaan BN ke atas 40 daripada 56 kerusi DUN memberi mandat kukuh, menjadikan Johor salah satu kubu paling penting Umno di peringkat negeri menjelang PRU akan datang. Johor kini di persimpangan beberapa peralihan negara. Dari segi ekonomi, ia mendapat manfaat daripada integrasi lebih mendalam dengan Singapura. Dari sudut politik pula, ia kekal salah satu benteng terpenting BN dan antara negeri masih mengekalkan gabungan unik antara tadbir urus pembangunan, identiti negeri serta pengaruh institusi diraja.

Cabaran kerajaan negeri ialah sama ada momentum ekonomi Johor dapat diterjemahkan kepada sokongan politik berkekalan. Pentadbiran negeri memberi penekanan besar terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelaburan logistik dan pembuatan berskala besar serta Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura sebagai pemacu utama pertumbuhan masa depan. Semua projek ini mengukuhkan kedudukan Johor sebagai koridor pertumbuhan strategik yang mendapat manfaat daripada jaraknya yang dekat dengan Singapura dan peranannya dalam rantaian bekalan serantau lebih luas. Pendekatan ini dicerminkan dalam Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.546 bilion dan bertemakan “Bangsa Johor Sejahtera”, yang memperkenalkan 260 inisiatif merangkumi pertumbuhan ekonomi, penyampaian kebajikan dan pembangunan sosial.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pun begitu, prestasi makroekonomi Johor hanya menceritakan sebahagian daripada kisah sebenar. Pembangunan pesat tidak mengurangkan kebimbangan awam secara automatik dan kadangkala membawa kesan sebaliknya. Peningkatan pelaburan, pasaran hartanah lebih kukuh dan integrasi lebih mendalam dengan Singapura berlaku seiring kebimbangan rakyat terhadap kos sara hidup, tekanan upah serta kemampuan memiliki rumah, khasnya di Johor Bahru dan kawasan bandar sekitarnya. Menyedari tekanan ini, kerajaan negeri memperluaskan pelbagai program kebajikan di bawah payung “Kasih Johor”. Bantuan Kasih Johor, Jualan Kasih Johor dan Baucar Kasih Johor diperkenalkan untuk membantu isi rumah susulan peningkatan kos sambil memastikan manfaat pertumbuhan dirasai rakyat biasa secara lebih langsung. Johor memperuntukkan RM138 juta untuk Fasa 4 Bantuan Kasih Johor yang memanfaatkan lebih 600,000 penerima melalui bantuan secara langsung kepada warga emas, suri rumah, pasangan baru berkahwin dan kumpulan rentan lain. Jualan Kasih Johor menyediakan barang keperluan bersubsidi ketika musim perayaan, manakala Baucar Kasih Johor menggunakan model baucar digital yang sering dibandingkan dengan skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat di Singapura.

Logik politiknya jelas. Kebanyakan pengundi tidak menilai keadaan ekonomi melalui pengumuman pelaburan atau angka KDNK, tetapi melalui harga makanan, kos perumahan, gaji dan perbelanjaan pengangkutan harian. Bagi mana-mana kerajaan yang berhasrat dipilih semula, persepsi terhadap kesejahteraan ekonomi lebih penting daripada statistik ekonomi utama. Pendidikan dan perumahan membentuk satu lagi tonggak penting dalam pendekatan pentadbiran. Negeri ini memperuntukkan sejumlah dana untuk bantuan pelajar, biasiswa, subsidi komputer riba dan skim sokongan pendidikan, selain inisiatif Rumah Mampu Milik Johor serta Bantuan Perumahan Kasih Johor bagi meningkatkan akses perumahan, khasnya untuk keluarga muda dan pembeli rumah pertama.

Pengkritik berpendapat, kebanyakan program ini masih didorong subsidi dan tidak bersifat transformasi struktur. Ada yang mempersoalkan sama ada lonjakan pelaburan Johor akan menjana pertumbuhan gaji jangka panjang yang bermakna untuk penduduk biasa atau manfaatnya hanya tertumpu di pusat bandar, pemaju dan syarikat lebih besar. Ada pula berpendapat langkah kebajikan walaupun berkesan dari segi politik, tetapi tidak semestinya menyelesaikan isu struktur lebih mendalam berhubung kemampuan hidup dan pertumbuhan pendapatan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Onn Hafiz telah berusaha menangani cabaran ini melalui gaya pemerintahan sangat jelas. Lebih kerap turun padang, pemeriksaan awam dan libat urus aktif di media sosial menjadi ciri utama pentadbirannya. Pendekatan ini mengukuhkan profil politiknya, walaupun persoalannya masih timbul sama ada tadbir urus bersifat peribadi dapat dikekalkan dalam jangka panjang. Dimensi istana turut muncul sebagai ciri penting dalam pentadbiran semasa. Kemunculan Onn Hafiz sering dilihat melalui hubungan rapatnya dengan institusi diraja Johor, khasnya Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Hubungan ini mencerminkan ciri lama dalam politik Johor, di mana pentadbiran negeri, pengaruh institusi diraja dan keutamaan pembangunan sering bertembung dengan lebih jelas berbanding negeri lain.

Bagi BN, prospek pilihan raya di Johor kekal agak positif. Gabungan itu masih memiliki jentera akar umbi luas di kebanyakan kawasan, khasnya luar bandar dan separa-luar bandar Melayu. Pembangkang kekal berpecah, dengan Pakatan Harapan lebih kuat di kawasan bandar dan bukan Melayu, manakala Perikatan Nasional mengekalkan sokongan di beberapa kawasan pengundi Melayu. Ini menjadikan taruhan politik luar biasa tinggi. Kemenangan meyakinkan BN akan mengukuhkan hujah bahawa Umno telah kembali berdaya saing selepas bertahun-tahun mengalami kemerosotan di peringkat nasional dan masih mampu memenangi negeri utama bermajoriti Melayu. Keputusan lebih lemah daripada jangkaan akan menimbulkan persoalan lebih sukar berhubung proses pemulihan parti dan hala tuju masa depannya.

Buat masa ini, BN kekal pilihan untuk mempertahankan Johor. Penyandang jawatan, kekuatan organisasi dan pembangkang berpecah-belah, semuanya memihak kepadanya. Tetapi, pilihan raya tidak mungkin ditentukan statistik pelaburan semata-mata. Pengundi Johor yang semakin urban dan sensitif terhadap isu ekonomi akan menilai kerajaan berdasarkan persoalan lebih mendesak: sama ada pertumbuhan telah diterjemahkan kepada gaji lebih baik, perumahan mampu milik dan jaminan ekonomi lebih kukuh. Jawapannya mungkin menentukan bukan saja nasib BN di Johor, tetapi juga kelangsungan lebih luas bagi politik berasaskan pembangunan dalam konteks Malaysia masa kini.