KUANTAN, 12 Mei — Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2031, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib.
Proses Pemuktamadan Teknikal
Beliau memaklumkan bahawa projek tersebut kini berada dalam fasa pemuktamadan keperluan teknikal, struktur pelaksanaan serta penglibatan pelabur strategik. Menurutnya, pelaksanaan projek ini tertakluk kepada pematuhan ketat terhadap keperluan teknikal yang ditetapkan oleh agensi persekutuan, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Pengangkutan, khususnya melibatkan aspek peraturan, keselamatan dan piawaian operasi penerbangan antarabangsa.
Libat Urus Berterusan
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri bersama pemaju sedang mengadakan libat urus secara berterusan dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan setiap keperluan teknikal dipenuhi sepenuhnya sebelum pelaksanaan fizikal dimulakan.
“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa projek ini dirancang secara berhemat berdasarkan keupayaan sebenar, dengan keutamaan diberikan kepada pematuhan piawaian, kebolehlaksanaan pelaburan dan tadbir urus telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) yang ingin mengetahui status terkini dan halangan kepada pembinaan lapangan terbang yang sebelum ini dijadualkan beroperasi pada tahun ini.
Pembiayaan Swasta
Mohamad Nizar menjelaskan bahawa pembangunan infrastruktur yang dicadangkan akan dilaksanakan melalui pembiayaan swasta dan tidak akan melibatkan dana kerajaan negeri dan persekutuan. Projek ini akan dibina di atas tanah milik Setiausaha Kerajaan Pahang.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek berimpak tinggi ini memerlukan perancangan yang teliti kerana lapangan terbang dibina untuk beroperasi dalam tempoh 50 hingga 100 tahun, selain perlu mematuhi piawaian agensi yang terlibat.
“Tidak perlu tergesa-gesa kerana ini adalah aset bernilai berbilion ringgit. Dari perspektif kerajaan negeri, projek ini berjalan lancar dan dengan izin Tuhan, akan ada pengumuman menarik oleh pemaju tidak lama lagi,” katanya. — Bernama



