GEORGE TOWN, 14 Jun — Enam taman rekreasi Madani di Pulau Pinang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, memperluaskan akses kepada kemudahan rekreasi berkualiti dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Projek di bawah MBPP dan MBSP
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye, berkata tiga projek di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mula dilaksanakan, manakala tiga lagi di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berada di peringkat akhir proses sebut harga.
“Tiga projek di bawah MBPP adalah menaik taraf taman kejiranan Jalan Cheeseman di Jelutong, taman kejiranan Jalan Kampung Bukit di Bayan Lepas, dan taman kejiranan Lengkok Merbah 3, juga di Bayan Lepas.
“Tempoh pelaksanaan projek Jalan Cheeseman adalah dari 16 April hingga 15 Oktober, manakala dua projek di Bayan Lepas dijadualkan dari 5 Jun hingga 4 November,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Untuk Seberang Perai, beliau berkata projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf landskap di ruang terbuka di Lorong Pauh 2, Taman Pauh dan Jalan Kelisa Emas 4, Taman Kelisa di Seberang Perai Tengah, serta Lorong Belatuk 3/Pekeliling Belatuk, Taman Belatuk di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.
H’ng berkata proses iklan sebut harga untuk tiga projek tersebut adalah dari 19 Mei hingga 8 Jun, dan kini berada di peringkat pembukaan dokumen oleh Jawatankuasa Sebut Harga sebelum dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Sebut Harga pada Julai.
“Kerja tapak akan bermula pada minggu ketiga Julai, dan ketiga-tiga projek dijangka siap pada Disember,” katanya.
Beliau menambah bahawa pemilihan lokasi taman Madani di Pulau Pinang diagihkan sama rata antara pulau dan Seberang Perai, dengan tiga projek diperuntukkan kepada setiap satu.
Peruntukan RM2.5 juta
Dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), H’ng berkata kos projek ditentukan berdasarkan keperluan dan skop kerja di setiap lokasi dan bukan diagihkan sama rata.
Kos projek di bawah MBPP adalah RM412,580 untuk taman kejiranan Jalan Cheeseman, RM320,320 untuk Jalan Kampung Bukit, dan RM381,100.50 untuk Lengkok Merbah 3, manakala tiga projek di bawah MBSP masing-masing dianggarkan RM500,000.
H’ng berkata taman rekreasi Madani dibangunkan berdasarkan konsep inklusif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira umur atau keupayaan fizikal.
Kemudahan yang disediakan termasuk bangku mesra orang kurang upaya (OKU), peralatan permainan kanak-kanak, laluan dan tanjakan khusus untuk OKU, bangku taman mesra warga emas, gim luar, sistem pencahayaan, dan televisyen litar tertutup (CCTV) untuk meningkatkan keselamatan pengguna.
Beliau berkata setiap lokasi yang dipilih juga melalui sesi libat urus dengan wakil rakyat, ahli majlis, dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi memastikan kemudahan yang disediakan memenuhi keperluan sebenar penduduk.
“Pembinaan dan penaik taraf taman rekreasi ini bukan sahaja menyediakan ruang yang lebih selesa dan selamat untuk aktiviti riadah, malah membantu mengukuhkan interaksi sosial, kesejahteraan komuniti, dan kualiti hidup penduduk, terutamanya di kawasan berketumpatan tinggi,” katanya.
Pada 17 Januari lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan untuk pembinaan enam taman rekreasi Madani di Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan rekreasi dan kesejahteraan komuniti.
Pembangunan taman rekreasi Madani merupakan salah satu inisiatif utama KPKT untuk mendekatkan kemudahan rekreasi kepada rakyat. Sejak dilancarkan pada 2024, kementerian telah melebihi sasaran tahunan membina 100 taman. — Bernama



