KPDN Melaka rampas 6,000 liter diesel dalam Op Tiris 4.0
KPDN Melaka rampas 6,000 liter diesel dalam Op Tiris 4.0

MELAKA, 11 Jun — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas 6,000 liter diesel yang dipercayai telah diseleweng dalam serbuan Op Tiris 4.0 bersepadu di sebuah premis di Taman IKS Paya Rumput di sini malam tadi.

Serbuan dan rampasan

Pengarahnya Mohd Hazimin Jamaludin berkata, dalam serbuan pada jam 9 malam tadi, pihaknya turut merampas sebuah lori, sebuah tangki tambahan berkapasiti 3,000 liter, dua tangki gelincir, dua kad minyak, beberapa pam minyak dan meter alir yang dianggarkan bernilai RM106,345.

Beliau berkata, semua peralatan dan kenderaan itu dipercayai digunakan untuk penyimpanan dan penjualan diesel secara haram di premis yang tidak dinamakan itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Tangkapan individu

"Selain itu, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Bangladesh, kedua-duanya berusia 40-an, yang berada di dalam premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Serbuan ini dilakukan berdasarkan risikan dan pemantauan terancang dalam usaha membendung aktiviti penyelewengan diesel di Melaka, seterusnya memastikan kebocoran subsidi kerajaan dapat dibendung sepenuhnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu menjalankan urus niaga borong, runcit atau pembuatan barang kawalan (diesel) tanpa lesen sah daripada pengarah Kawalan Bekalan.

Sementara itu, beliau mengingatkan individu atau syarikat supaya tidak memanipulasi, menyeleweng atau berurusan dengan barang kawalan tanpa permit dan lesen yang sah.

Tindakan tegas

Mohd Hazimin berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, terutama yang melibatkan penyelewengan barang bersubsidi.

"KPDN Melaka akan terus mempergiatkan komitmen dalam memerangi kebocoran barang kawalan melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas dan berterusan bagi melindungi kepentingan pengguna dan kestabilan ekonomi negara.

"Pengguna juga diminta menjadi mata dan telinga KPDN dalam melaporkan salah laku berkaitan aktiviti perdagangan dan isu pengguna melalui pelbagai saluran aduan termasuk WhatsApp di 019-848 8000 dan portal [email protected]," katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga