BINTULU, 11 Jun — Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah menyerahkan dua projek sekolah baharu bernilai lebih RM100 juta di sini kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memenuhi permintaan kemudahan pendidikan yang semakin meningkat di kawasan yang pesat membangun di Bintulu.
Dalam satu kenyataan, JKR Sarawak memaklumkan projek yang diserahkan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Samalaju bernilai RM57.62 juta dan Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Mohammad Bintulu bernilai RM42.74 juta.
“SMK Samalaju yang dibina oleh Empayar Setia Sdn Bhd dilengkapi dengan 36 bilik darjah, 24 unit kuarters guru, dua blok asrama, serta pelbagai kemudahan sokongan untuk memenuhi keperluan pendidikan semasa.
“Pembinaan sekolah ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti Samalaju yang pesat membangun sebagai hab ekonomi dan perindustrian utama di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, SK Orang Kaya Mohammad Bintulu yang dibina oleh EPR (Kuching) Sdn Bhd dibangunkan di tapak baharu dengan kemudahan moden dan lebih komprehensif untuk meningkatkan keselesaan dan kualiti pembelajaran.
“Sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1912 itu kini beroperasi di bangunan baharu yang menawarkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif untuk komuniti,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kejayaan penyiapan kedua-dua projek mencerminkan kerjasama erat antara KPM, JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana, kontraktor, perunding dan agensi teknikal berkaitan, walaupun berdepan cabaran termasuk pandemik COVID-19 dan kenaikan kos bahan binaan. — Bernama



