Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, menyeru agar sistem pengurusan banjir di bandar itu dikaji semula susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan petang ini.
Beliau berkata, keadaan lebih membimbangkan kerana banjir petang ini merupakan yang terbaru dalam siri beberapa banjir yang melanda bandar itu sejak dua minggu lalu.
Lee berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini memaklumkan bahawa pelan tempatan baharu akan mengambil kira kepadatan pembangunan dan menggariskan sistem mitigasi banjir serta infrastruktur. MBPJ menyatakan pelan tempatan itu juga akan merangkumi reka bentuk untuk menangani kejadian “sekali dalam seratus tahun”.
“Namun, banjir berulang ini menimbulkan persoalan yang memerlukan perhatian serius. Pendekatan kita terhadap pengurusan banjir perlu dikaji semula,” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.
Lee berkata, beliau akan meminta MBPJ mengemukakan laporan secepat mungkin untuk mengenal pasti punca banjir dan mencadangkan langkah berkesan bagi mengelakkan kejadian berulang.
Seksyen 51A, yang antara kawasan terjejas hari ini, turut dilanda banjir kilat pada 18 April lalu yang digambarkan peniaga tempatan sebagai terburuk dalam tempoh 30 tahun, menurut laporan Harian Metro.
Banjir kilat hari ini, yang berlaku selepas hujan lebat dan angin kencang, turut menenggelami beberapa jalan utama, termasuk Kuchai Link dari Sungai Besi ke Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur.
Sebanyak lapan kenderaan terperangkap dalam banjir di tiga lokasi berasingan – Jalan Awan Kecil di Taman OUG, Jalan Kuchai Lama menghala ke Jalan Klang Lama, dan di dalam terowong Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.



