30 ladang babi di Tanjong Sepat dalam proses pengosongan, kata exco
30 ladang babi Tanjong Sepat dalam proses pengosongan

Kira-kira 30 ladang dengan baki 11,000 ekor babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dalam proses pengosongan, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim.

Jelasnya, tiada anak babi baharu dibawa masuk dan baki ternakan itu belum cukup matang untuk dilupuskan atau disembelih di pusat penyembelihan Rawang sejak arahan penutupan dikeluarkan Februari lalu.

“Jadi, proses itu dijalankan secara berperingkat dan kita jangka akan selesai nanti,” katanya menurut Kosmo pada program Ibadah Korban Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor di Surau Haji Hassan, Sijangkang, Kuala Langat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Minggu lalu, media melaporkan semua ladang babi di Tanjong Sepat akan dikosongkan dan ditutup sepenuhnya menjelang akhir bulan depan, sebelum fasa penguatkuasaan bermula 1 Julai nanti.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah Selangor.

Baginda pada 12 Jan lalu murka dengan rancangan kerajaan Selangor membenarkan penternakan babi berskala besar di Tanjong Sepat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Izham berkata, kerajaan negeri akan membantu 87 pengusaha ladang babi terbabit beralih kepada aktiviti pertanian lain, selepas ladang ternakan mereka ditutup.

“Peralihan itu penting bagi memastikan aktiviti pertanian bernilai tinggi dapat dilaksanakan atas kawasan seluas 350 ekar (141.64 hektar).”

Beliau berkata, mesyuarat akan diadakan 9 Jun ini untuk mengenal pasti langkah terbaik membantu penternak, khasnya bagi pemulihan tanah di kawasan terbabit.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga