Rapid KL lancar perkhidmatan 'Ask Me' bantu penumpang di Hentian Pasar Seni
Rapid KL lancar 'Ask Me' bantu penumpang di Pasar Seni

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Rapid KL telah memperkenalkan inisiatif bantuan pelanggan 'Ask Me' di Hentian Bas Pasar Seni sebagai lokasi pertama pelaksanaannya dalam usaha meningkatkan pengalaman perjalanan pengangkutan awam melalui penyampaian maklumat yang lebih pantas, jelas dan mudah diakses.

Menurut kenyataan Rapid KL hari ini, inisiatif ini diperkenalkan untuk membantu penumpang mendapatkan bantuan berkaitan perjalanan dengan lebih mudah, terutamanya di hentian bas yang mempunyai trafik penumpang tinggi dan pelbagai sambungan laluan.

Pengendali perkhidmatan bas itu memaklumkan, sebuah podium khas 'Ask Me' akan ditempatkan di hentian tersebut bagi memudahkan penumpang mengenal pasti tempat bantuan disediakan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

"Penumpang boleh mendapatkan maklumat mengenai laluan bas, lokasi perhentian, perubahan laluan, perancangan perjalanan serta produk pas perjalanan untuk membantu memudahkan perjalanan harian mereka," menurut kenyataan itu.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Program Service Ambassador 2.0, yang menampilkan Pembantu Perkhidmatan Pelanggan dan Penyelaras Trafik sebagai petugas utama di lokasi tumpuan utama dan hab pengangkutan utama," tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, berkata pelaksanaan 'Ask Me' mencerminkan komitmen berterusan Rapid KL untuk menjadikan pengangkutan awam lebih responsif dan boleh dipercayai untuk pengguna.

Beliau berkata Hentian Bas Pasar Seni dipilih sebagai lokasi pertama kerana ia merupakan antara hentian bas utama di Lembah Klang, yang mengendalikan 14 laluan bas Rapid KL dengan purata lebih 6,000 penumpang setiap hari.

Pelaksanaan 'Ask Me' juga akan diperluaskan secara berperingkat ke lokasi lain berdasarkan keperluan operasi dan kesesuaian, termasuk di Terminal Bas Weld Quay untuk perkhidmatan Rapid Penang.

"Kami mahu memastikan penumpang dapat memperoleh bantuan dengan lebih cepat dan mudah, terutamanya di lokasi yang menjadi titik pertukaran utama dalam perjalanan harian mereka," katanya.

"Kehadiran petugas yang mudah dikenal pasti bukan sahaja membantu mengurangkan kekeliruan, malah meningkatkan keyakinan pengguna semasa menggunakan pengangkutan awam," tambahnya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga