KUCHING, 11 Julai — Jabatan Imigresen Sarawak menahan 24 warga asing dalam Op Minyak, Op Selera dan Op Mahir yang dijalankan di tujuh lokasi sekitar Kuching dan Kota Samarahan semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata operasi selama enam jam yang bermula pada pukul 9 pagi itu dijalankan berikutan aduan awam dan risikan awal yang dikumpul pihak berkuasa.
Lokasi sasaran termasuk bengkel dan premis judi dalam talian
Pemeriksaan tertumpu di bengkel jentera berat di Kampung Semeba dan Kampung Sudat di Kuching, serta premis makanan dan premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di Muara Tuang, Kota Samarahan.
Beberapa premis besi buruk dan barangan terpakai di sekitar Kota Samarahan turut diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.
24 warga asing ditahan, satu saman saksi dikeluarkan
Seramai 24 warga asing ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Selain itu, satu saman saksi dikeluarkan untuk membantu siasatan lanjut kes itu, kata jabatan berkenaan.
Jabatan itu juga menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai kehadiran pendatang tanpa izin atau sebarang aktiviti haram kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. — Bernama



