KUALA LUMPUR: Penggunaan MyDigital ID secara menyeluruh mampu menjadi antara mekanisme penting dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya sudah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pengurusan MyDigital ID bagi membincangkan penggunaan platform itu dalam urusan perbankan dan kewangan.
“Kita percaya bila menggunakan MyDigital ID sepenuhnya, ia akan menjadi salah satu yang boleh menghalang ‘scam’ daripada berlaku,” katanya dalam sidang media selepas program ‘#JanganKenaScam Bank Heroes Recognition Event 2026’, hari ini.
Beliau berkata, MyDigital ID mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang sukar ditiru sindiket penipuan. “Kita sangat percaya ciri keselamatan yang ada padanya sukar ditiru ‘scammer’ dan boleh menjadi satu mekanisme yang berkesan untuk mencegah penipuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar, berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam jenayah penipuan semakin meningkat, termasuk membabitkan panggilan ‘deepfake’ dan ‘phishing’. “Pada masa sama, kami terus melabur dalam meningkatkan keupayaan, termasuk menggunakan AI bagi mengesan dan membanteras scam,” katanya.
Peserta bergambar selepas program ‘#JanganKenaScam Bank Heroes Recognition Event 2026’, hari ini. Dalam majlis itu, seramai 68 pegawai bank dari seluruh negara diraikan atas kejayaan mengesan dan menggagalkan cubaan penipuan yang membantu menyelamatkan RM139 juta wang pelanggan.
Dalam perkembangan lain, Rusdi berkata keputusan mahkamah yang mengarahkan sebuah bank membayar pampasan kepada mangsa penipuan tidak bermakna semua mangsa layak menerimanya kerana setiap kes mempunyai fakta dan keadaan berbeza. Beliau juga menasihatkan orang ramai berwaspada ketika membeli tiket konsert dan hanya berurusan melalui platform sah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Semalam, media melaporkan polis mengesan satu sindiket menawarkan tiket konsert BTS World Tour palsu di media sosial yang setakat ini merekodkan 41 kes membabitkan kerugian hampir RM96,000. Sindiket terbabit dikesan menawarkan tiket bagi kategori VIP, Soundcheck dan Priority Access pada konsert dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Dis ini.



