PETALING JAYA: Pemandu dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan menjadi punca kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada malam semalam. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kejadian kira-kira jam 8 malam itu membabitkan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 29 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu yang dalam perjalanan dari Jalan Tun Razak menuju ke Jalan Sultan Yahya Petra gagal mengawal kenderaannya ketika memasuki simpang. Pemandu itu dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan sehingga kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebuah lagi kenderaan serta pagar di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan bahawa kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan. “Hasil ujian saringan alkohol terhadap pemandu berkenaan mendapati bacaan adalah sifar, dan saringan air kencing juga negatif,” tambahnya.
Polis telah melakukan lawatan ke lokasi kejadian, memohon rakaman CCTV, mengambil gambar kerosakan kenderaan, serta merakam percakapan kedua-dua pemandu. “Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, dan siasatan lanjut masih diteruskan,” kata Zamzuri.
Semalam, tular video berdurasi 55 saat di media sosial menunjukkan sebuah kereta terbabas sebelum melanggar kenderaan lain dan pagar di Jalan Tun Razak. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau balai polis berhampiran.



