PETALING JAYA: Sebanyak 26 tren baharu untuk Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya dijangka mula beroperasi pada tahun 2031 dalam usaha meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi serta mengurangkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.
Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail, Nor Azmi Mohd Yusof, berkata proses penggantian tren sedia ada telah bermula dengan tren pertama dijadualkan tiba pada 2029 sebelum keseluruhan penggantian disasarkan siap menjelang akhir 2030.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu adalah langkah jangka panjang untuk memastikan sistem pengangkutan awam yang lebih stabil, selamat dan berdaya tahan pada masa hadapan.
“Sebagai langkah jangka pendek sementara menunggu ketibaan 26 set tren baharu secara berperingkat sehingga akhir 2030, Rapid Rail kini mengamalkan pendekatan penyelenggaraan berasaskan keadaan (CBM).
“Melalui pendekatan proaktif ini, pemeriksaan dijalankan dengan lebih kerap dan mana-mana komponen yang menunjukkan tanda awal kerosakan akan diganti segera tanpa perlu menunggu jadual penggantian asal dalam manual penyelenggaraan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas mengenai peningkatan bilangan pengguna, Nor Azmi berkata faktor muatan untuk Laluan Kelana Jaya telah mencapai 109 peratus pada April.
Untuk mengatasi peningkatan 11 peratus pengguna tahun ini, Rapid Rail mengambil langkah proaktif dengan menambah bilangan tren beroperasi bagi memendekkan masa menunggu pengguna.
“Kami hanya akan melepaskan tren untuk beroperasi selepas memastikan ia benar-benar selamat digunakan. Dalam mengawal faktor muatan ini, kami juga melaksanakan pengurusan kawalan kesesakan secara berperingkat untuk memastikan platform tidak terlalu sesak sehingga membahayakan keselamatan pengguna,” katanya.
Proses penstabilan sistem yang dinaik taraf akan terus dipantau untuk mengurangkan gangguan kepada pengguna dan dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun berdasarkan tempoh liabiliti kecacatan projek, katanya.
Sementara itu, Nor Azmi juga berkata kecenderungan rakyat menggunakan pengangkutan awam berikutan langkah pelarasan subsidi petrol kerajaan dilihat sebagai amanah besar yang perlu dipikul oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Rapid Rail.
“Ia adalah amanah besar untuk kami memastikan perkhidmatan rel di Lembah Klang terus beroperasi dengan baik dan lancar,” katanya. — Bernama



