Sultan Pahang tarik diri rebut jawatan presiden FAM, sokong calon muda
Sultan Pahang tarik diri rebut jawatan presiden FAM

NILAI, 10 Jun — Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengisyaratkan bahawa baginda tidak akan bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres tahunan badan itu pada September.

Baginda yang pernah menjadi presiden FAM dari 2014 hingga 2017 turut menegaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada calon yang lebih muda untuk merebut jawatan tertinggi itu.

“Tidak perlu saya. Saya dari generasi lama. Biarlah orang muda bertanding untuk jawatan presiden FAM,” titah baginda kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kongres Tahunan FAM dijangka menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu, dengan tumpuan diberikan kepada jawatan presiden dan tiga naib presiden.

Pada Januari lalu, semua ahli jawatankuasa eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela dengan serta-merta berikutan krisis yang melanda badan induk bola sepak negara itu.

Krisis bermula pada September tahun lalu apabila badan induk bola sepak dunia, FIFA, mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel - telah melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah meluahkan kekaguman terhadap persembahan yang dipamerkan oleh para peserta Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026, terutamanya saingan sengit antara jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Dalam ingatan saya, ini kali pertama saya menonton perlumbaan di dalam velodrom. Saya tidak pernah melawat mana-mana velodrom di Malaysia atau di tempat lain di dunia.

“Saya sangat kagum dengan pertandingan ini dan ia memberi saya penghargaan yang lebih mendalam terhadap sukan berbasikal trek. Tahniah kepada semua peserta, terutamanya Datuk Azizul dan Shah Firdaus,” titah baginda.

Sultan Pahang turut menyatakan harapan agar Mohd Azizulhasni dapat bertanding di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Kejohanan selama empat hari yang bermula semalam akan berakhir pada Jumaat. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga