VANCOUVER: Jonathan David menjaringkan hatrik apabila Kanada membelasah Qatar yang berbaki sembilan pemain 6-0 pada Khamis untuk meraih kemenangan pertama mereka di pentas akhir Piala Dunia dan meletakkan tuan rumah bersama di tangga teratas Kumpulan B.
Kemenangan itu bagaimanapun datang dengan harga yang perlu dibayar apabila pemain tengah Kanada, Ismael Kone, diusung keluar padang dengan but merah kembung pada kaki kirinya selepas dilanggar oleh Assim Madibo pada awal separuh masa kedua, yang menyebabkan Madibo dilayangkan kad merah dan mengurangkan Qatar kepada sembilan pemain.
Cyle Larin menyambar muntah untuk membuka tirai jaringan sebelum David melepaskan rembatan voli dan kemudiannya menjaringkan gol daripada jarak dekat. Nathan Saliba memastikan kemenangan apabila dia merembat masuk sepakan percuma sejurus selepas memasuki padang menggantikan Kone, gol sendiri daripada Mohamed Manai menjadikan kedudukan 5-0 dan David melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan dengan rembatan kaki kiri.
Qatar dikurangkan kepada 10 pemain pada minit ke-34 apabila Homam Ahmed dilayangkan kad merah kerana melakukan kesalahan ke atas Tajon Buchanan yang pada mulanya menyebabkan penalti diberikan sehingga semakan menentukan pelanggaran itu berlaku di luar kawasan penalti.
Kanada menyertai Switzerland dengan empat mata daripada dua perlawanan tetapi mendahului Kumpulan B menerusi perbezaan gol. Kanada menutup aksi peringkat kumpulan menentang Switzerland pada 24 Jun di Vancouver manakala Qatar akan berdepan Bosnia dan Herzegovina di Seattle.



