Penunggang motosikal maut dirempuh penunggang melawan arus elak sekatan jalan raya
Penunggang motosikal maut dilanggar penunggang elak sekatan

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar oleh penunggang motosikal lain yang menunggang melawan arus trafik untuk mengelak sekatan jalan raya polis awal pagi tadi.

Kejadian di Jalan Dewan Bahasa

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian berlaku pada pukul 2:30 pagi hari ini di Jalan Dewan Bahasa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang menunggang motosikal Yamaha dipercayai telah berpatah balik dan menunggang melawan arus trafik selepas menyedari adanya sekatan jalan raya polis.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Tindakan ini menyebabkan motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain, model SYM, yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, pada jarak 50 meter dari lokasi sekatan jalan raya.

“Akibatnya, mangsa berusia 47 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Motif Elak Sekatan

Mohd Zamzuri berkata penunggang Yamaha itu mengambil keputusan untuk menunggang melawan arus trafik bagi mengelak melalui sekatan jalan raya kerana motosikal yang ditunggangnya mempunyai aksesori yang tidak lengkap.

Beliau menambah ujian alkohol dan ujian saringan air kencing awal yang dijalankan ke atas penunggang Yamaha itu menunjukkan keputusan negatif, dan dia kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nasihat dan Rayuan

JSPT Kuala Lumpur menasihati semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan jangan sekali-kali menunggang melawan arus trafik atau mengambil tindakan berbahaya semata-mata untuk mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke hadapan dan membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga