PETALING JAYA: Impian untuk menyaksikan final beregu lelaki all-Malaysia di Malaysia Masters musnah apabila Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tewas kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada aksi separuh akhir, hari ini.
Pasangan ranking ke-16 dunia itu kalah 19-21, 17-21 kepada lawan ranking ke-19 dunia dalam masa 48 minit. Ini merupakan kemenangan pertama buat pasangan Denmark dalam tiga pertemuan menentang Arif-Roy King.
Walaupun tewas, Wan Arif-Roy King boleh berbangga kerana berjaya melangkah ke separuh akhir dalam dua siri BWF World Tour Super 500 setakat ini. Lundgaard-Vestergaard akan bertemu dengan pasangan Malaysia lain, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, pada aksi final esok.
Pada separuh akhir pertama yang berlangsung lebih awal hari ini, Sze Fei-Izzuddin mengejutkan gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam dua permainan terus. Tahun lalu, final beregu lelaki Malaysia Masters menyaksikan pertembungan all-Malaysia, dengan Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul juara selepas menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam tiga permainan.



