KUALA LUMPUR, 24 Mei — Pasangan profesional Malaysia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan rakan senegara Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi separuh akhir hari ini.
Pasangan ranking sembilan dunia itu menghasilkan persembahan mengagumkan untuk mengecewakan pasangan ranking dua dunia dengan kemenangan 21-18, 21-12 hanya dalam masa 33 minit di Unifi Arena di sini.
Kemenangan ini merupakan kemenangan ketiga mereka ke atas Aaron-Wooi Yik dalam sembilan pertemuan.
“Saya rasa kemenangan hari ini tidak bermakna mereka (Aaron-Wooi Yik) tidak bagus. Saya rasa mereka terlalu tertekan. Mereka tidak berada dalam prestasi terbaik,” kata Sze Fei selepas perlawanan.
Sementara itu, Nur Izzuddin berkata ketenangan mereka di gelanggang adalah kunci untuk meraih kemenangan.
Sze Fei-Nur Izzuddin akan berdepan dengan pasangan Denmark Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada aksi akhir selepas pasangan Denmark itu menewaskan pasangan kebangsaan Malaysia Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King 21-19, 21-17 dalam 49 minit.
“Mungkin kekalahan hari ini berpunca daripada tahap tenaga, mungkin tenaga kami sudah menurun. Kami benar-benar mahu menang, tetapi lawan bermain lebih baik daripada kami,” kata Wan Arif. — Bernama



