KUALA LUMPUR, 24 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan ucapan tahniah kepada Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan merangkul gelaran juara Piala Malaysia buat kali keenam semalam.
Raja Permaisuri Agong turut berkenan
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap semangat juang yang ditunjukkan oleh para pemain dan jurulatih, serta sokongan padu peminat setia JDT yang sentiasa bersama pasukan dalam suka dan duka.
“Peminat sentiasa menjadi sumber inspirasi dan kekuatan kepada pasukan, membakar semangat juang serta memberikan motivasi untuk terus mencipta kejayaan,” titah baginda.
Ucapan kepada Tunku Mahkota Ismail
Sultan Ibrahim turut menzahirkan tahniah kepada putera baginda, Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang juga pemilik JDT.
JDT mencipta sejarah malam ini dengan menjadi pasukan pertama yang memenangi Piala Malaysia selama empat musim berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dua gol Harimau Selatan itu dijaringkan pada babak kedua oleh Marcos Guilherme dan pemain gantian Arif Aiman Mohd Hanapi. – Bernama



