Tong gas helium meletup: Polis tahan dua lelaki bantu siasatan
Tong gas helium meletup: Polis tahan dua lelaki

Polis telah menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan tong gas helium di tapak ekspo berdekatan sebuah pasar raya di Sungai Petani yang mengorbankan seorang peniaga malam tadi.

Dua lelaki ditahan

Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan, berkata kedua-dua individu yang ditahan masing-masing berumur 20-an dan 40-an. Beliau berkata siasatan masih di peringkat awal bagi menentukan punca kejadian.

Kawasan sekitar lokasi kejadian akan ditutup kepada aktiviti perniagaan buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada proses siasatan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kita sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian, jadi kita minta semua peniaga hentikan dahulu perniagaan… bila dah selesai, kita akan serah balik kepada penganjur untuk teruskan acara ini,” katanya pada sidang media di sini.

Hanyan berkata polis sedang mengenal pasti pemilik tong gas helium berkenaan. “Kita percaya ada lagi pengunjung yang mengalami kecederaan tetapi mungkin kecederaan itu ringan menyebabkan mereka meninggalkan tempat kejadian. Jadi, saya minta mereka yang cedera itu datang ke balai berdekatan untuk membantu kita menjalankan siasatan,” katanya.

Letupan kuat serpihan sejauh 100 meter

Mengulas lanjut, beliau berkata letupan tong gas helium itu mengakibatkan serpihannya melayang hingga 100 meter dan terkena beberapa mangsa. “Sebahagian daripada serpihan ini terbang sejauh 100 meter dari kedudukan tong gas helium tersebut dan telah mengenai seorang lelaki yang sedang meniaga. Akibat serpihan, mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kanan dan juga dada sebelah kanan… dan telah disahkan kematiannya di lokasi kejadian,” katanya.

Hanyan berkata kes disiasat sebagai mati mengejut mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Tiga lagi cedera

Terdahulu, Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani Timbalan Penguasa Bomba II Siti Norafiza Mohd Noh berkata pihaknya menerima panggilan menerusi sistem NG 999 pada 7.52 malam. Beliau berkata letupan dipercayai melibatkan seunit tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bagi tujuan perniagaan.

“Seorang lelaki berusia 42 tahun dikenali sebagai Azmi Ahmad dilaporkan meninggal dunia manakala tiga lagi mangsa termasuk remaja lelaki berusia 15 tahun dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya.

“Mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan pada bahagian belakang manakala mangsa berusia 49 tahun cedera pada bahagian perut,” katanya sambil menambah kecederaan remaja lelaki terbabit belum dapat dikenal pasti kerana gagal dikesan selepas kejadian.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga