Tiada bukti buli dalam kematian pelajar Seremban, kata KP Pendidikan
Tiada bukti buli kes kematian pelajar Seremban

REMBAU, 20 Jun — Tiada bukti buli telah dikesan setakat ini dalam kes melibatkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Seremban semalam.

Kenayataan Ketua Pengarah Pendidikan

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata pelajar berusia 16 tahun itu dilaporkan dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa sebelum kejadian.

“Setakat ini, berdasarkan perbualan saya dengan ibu bapa si mati tadi, tiada isu buli atau seumpamanya timbul. Menurut maklumat yang diterima, si mati berada dalam keadaan baik dan berkelakuan seperti biasa ketika tiba di sekolah pagi semalam.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan negeri dan sekolah telah diarahkan untuk meneliti kes ini secara terperinci bagi menentukan punca kejadian. Pada ketika ini, tiada maklumat menunjukkan pelajar itu mempunyai sebarang sejarah perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga pelajar tersebut di Unit Forensik Hospital Rembau malam tadi. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Tindakan Kementerian Pendidikan

Mohd Azam berkata Kementerian Pendidikan telah menyerahkan siasatan lanjut mengenai kejadian itu kepada pihak berkuasa dan menggesa orang ramai supaya tidak berkongsi gambar atau rakaman berkaitan kes tersebut demi menghormati privasi keluarga dan mengelakkan tekanan emosi kepada mereka.

Pada masa yang sama, beliau berkata kementerian akan memberikan sokongan psikososial kepada ahli keluarga, rakan sekelas dan guru yang terjejas akibat kejadian itu.

“Kami berharap orang ramai akan bersama-sama menyokong keluarga si mati dan menghormati privasi mereka dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Kejadian Hari Laporan Akademik

Menjelaskan lanjut, Mohd Azam berkata kejadian itu berlaku pada hari pelaporan akademik sekolah, yang bertujuan memaklumkan kemajuan dan pencapaian anak-anak kepada ibu bapa, dengan bapa mangsa turut berada di sekolah.

“Si mati dikatakan meminta izin untuk pergi ke tandas sebelum kejadian itu diketahui. Saya berharap keluarga akan mendapat kekuatan dalam menghadapi tragedi ini,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny dilaporkan berkata polis menerima maklumat pada pukul 10:48 pagi mengenai pelajar tersebut, yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam kawasan sebuah sekolah menengah di sini.

Beliau berkata kes itu telah diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut dan polis terus menjalankan siasatan, termasuk merakam keterangan beberapa saksi dan mendapatkan laporan bedah siasat. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga