PETALING JAYA: Seorang bekas naib presiden MCA menegur Teo Nie Ching daripada DAP yang menyindir Barisan Nasional "talam dua muka" dengan mencadangkan parti itu supaya bercermin diri terlebih dahulu.
Ti Lian Ker: DAP juga main dua muka
Ti Lian Ker berkata, DAP perlu berhenti mendabik dada kerana parti itu turut bertindak demi meraih populariti dengan mengemukakan naratif berbeza ketika menjadi kerajaan dan pembangkang.
Menurutnya, DAP bercakap tentang reformasi ketika menjadi pembangkang, tetapi kini memberi alasan atas kelewatan melaksanakan perubahan. Beliau memberi contoh Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo baru-baru ini dilaporkan berkata, konsensus dan persefahaman diperlukan dalam kerajaan perpaduan bagi melaksanakan reformasi.
DAP didakwa alami amnesia terpilih
Ti turut mendakwa Teo pernah muncul dalam audio siar berbahasa Cina dengan menafikan pernah bercakap tentang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan diiktiraf jika DAP berkuasa, tetapi dikecam warganet yang mengungkit janji pernah dibuatnya.
Katanya, DAP mengalami "amnesia terpilih" dalam kontroversi membabitkan lawannya, di mana parti itu mendesak seorang pemimpin meletak jawatan. "Tetapi, mereka akan menggunakan alasan 'ikut proses sewajarnya' dalam kontroversi membabitkan pemimpinnya.
"DAP menafikan dirinya talam dua muka. Tetapi, ia mungkin mengalami krisis identiti kronik," katanya kepada FMT.
Teo: DAP tidak bermuka dua
Ketika pengumuman calon DAP untuk PRN Johor pada Khamis lalu, Teo yang juga pengerusi DAP Johor berkata, parti itu tidak menggunakan ketiadaan wakil Pakatan Harapan dalam kerajaan negeri sebagai alasan untuk memboikot PRK Mahkota pada 2024.
"Itulah semangat DAP. Kita tidak bermuka dua dan kita tidak mendua hati, kita tidak berpura-pura," kata Teo sambil menambah DAP berkempen untuk BN di Mahkota kerana mahu kerajaan perpaduan berjaya.
Ti ingatkan DAP internet tidak pernah lupa
Ti berkata, DAP tidak patut menggunakan alasan pragmatisme untuk mewajarkan tindakan mengubah sasaran politiknya. Beliau turut mengingatkan DAP bahawa internet tidak pernah lupa dan pengundi boleh mencari semua kenyataan lama di media sosial berhubung isu tertentu.
"Tidak bijak untuk menuduh BN talam dua muka sedangkan tangkap layar boleh membuktikan DAP bukannya lebih baik."



