Rafizi bimbang siasatan SPRM dipengaruhi emosi peribadi Azam
Rafizi bimbang siasatan SPRM dipengaruhi emosi

PUTRAJAYA: Rafizi Ramli menyuarakan kebimbangan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk yang melibatkan dirinya, mungkin dipengaruhi oleh emosi peribadi. Bekas menteri ekonomi itu merujuk kepada ucapan perpisahan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, pada Selasa lalu yang menyatakan beliau tidak akan memaafkan pihak yang melancarkan serangan peribadi terhadap diri dan keluarganya.

“Jadi, semasa ucapan perpisahan itu Azam menyebut dia tidak akan memaafkan orang yang menyerang atau mengkritik dia. Sebenarnya, itu adalah kenyataan yang ada kesan kepada SPRM kerana agensi penguat kuasa tidak boleh ada perasaan peribadi. SPRM mestilah nampak bebas dan kebal daripada kritikan kerana mereka mesti berpandukan kepada bukti dan undang-undang,” kata Rafizi.

“Tambah dalam situasi saya apabila Azam menyebut dia tidak akan maafkan orang yang menyerang, maksudnya ada elemen emosi yang besar dalam kenyataan itu,” katanya lagi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Rafizi berkata, dalam tempoh beberapa tahun lepas, dia antara individu paling lantang mengkritik Azam termasuk berkaitan pemilikan saham bekas ketua badan antirasuah itu. “Kritikan itu bukan soal saya suka tak suka kepada Azam tapi untuk memastikan SPRM bukan saja bebas dan bersih tetapi mesti diyakini bebas,” katanya ketika ditemui media.

Terdahulu, Rafizi hadir ke ibu pejabat SPRM bersama peguamnya secara sukarela bagi menyerahkan dokumen tambahan setebal 28 muka surat berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion. Pada 7 Mei lalu, Rafizi selesai memberi keterangan selama empat hari kepada SPRM bagi membantu siasatan kes pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom.

SPRM memaklumkan seramai 22 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Kertas siasatan dibuka pada 16 Feb lalu susulan aduan daripada tiga NGO yang mendakwa perjanjian projek itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Sementara itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa masih ada saksi penting belum dipanggil bagi melengkapkan siasatan dan memastikan keseluruhan fakta dapat dinilai secara menyeluruh. Antara saksi yang dimaksudkan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, serta bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri Tengku Zafrul Aziz.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga