KUALA LUMPUR, 15 Jun — Pemandu lori treler yang terbabit dalam kemalangan maut meragut empat nyawa di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) petang semalam didapati mempunyai 15 saman lalu lintas.
Siasatan lanjut dijalankan
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata pihak polis turut mengambil sampel darah daripada lelaki berusia 40 tahun itu untuk analisis toksikologi.
Beliau berkata pemandu lori tersebut sedang menerima rawatan lanjut bagi kecederaan kepala dan pinggul.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk melengkapkan siasatan dan mengenal pasti punca keseluruhan kejadian, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kronologi kejadian
Yahaya berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, lori treler yang membawa muatan habuk besi telah melanggar sebuah Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 55 tahun dengan tiga penumpang berusia antara satu hingga 58 tahun.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lori treler itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan sebelum dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit dan melalui selekoh di lokasi kejadian.
“Lori yang terlibat kemudiannya terbalik ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar sebuah kereta di lorong kiri.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk bedah siasat esok,” katanya.
Operasi menyelamat
Terdahulu, sepasukan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap.
Difahamkan, lori treler itu turut terbakar ketika operasi mengalihkan kenderaan sedang dijalankan selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan. — Bernama



