BALING, 13 Mei — Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan memiliki senjata api, peluru dan senjata tiruan baru-baru ini.
Pertuduhan di Mahkamah Sesyen
Mohd Shahifuldin Mohd Shahiran, 46, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rohaida Ishak, yang juga bertindak sebagai majistret.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, beliau dituduh memiliki sepucuk pistol Colt UTC/TIC kaliber .45 bersama kelopak, serta sepucuk pistol Forjas Taurus S.A PT 24/7 9-milimeter buatan Brazil bersama kelopak tanpa lesen atau permit yang sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bengkel membaiki kereta di Kampung Siput Siong di sini pada jam 12.30 pagi, 1 Mei, di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang daripada enam sebatan rotan, jika sabit kesalahan.
Senjata Tiruan
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Shahifuldin dituduh memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam buatan Taiwan tanpa sebab yang sah di tempat, tarikh dan masa yang sama. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan di Mahkamah Majistret
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, beliau berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu memiliki dua laras senapang angin dan 19 butir peluru berwarna emas dan perak tanpa lesen atau permit yang sah di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nursyafina Baharudin.
Mahkamah menolak jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 12 Julai untuk sebutan kes. — Bernama



