Seorang penunggang motosikal berusia 31 tahun maut selepas tercampak kira-kira 30 meter dari jambatan di Kilometer 15.8 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SPE) di sini petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, seorang wanita memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat sebelum tergelincir dan melanggar dua motosikal yang sedang berteduh.
Mangsa tercampak 30 meter
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 31 tahun tercampak daripada motosikalnya dan jatuh kira-kira 30 meter di bawah jambatan. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Seorang lagi penunggang motosikal dan pemboncengnya, kedua-duanya berusia 18 tahun, mengalami kecederaan muka dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Pemandu wanita ditahan
Mohd Zamzuri berkata, ujian saringan alkohol yang dijalankan ke atas wanita berusia 21 tahun itu menunjukkan keputusan negatif, namun dia telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.



