Mahkamah Koroner: Kesan Cedera dan Lebam Ditemui pada Tubuh Zara Qairina
Kesan Cedera dan Lebam pada Tubuh Zara Qairina

PETALING JAYA: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini diberitahu mengenai kesan kecederaan dan lebam yang ditemui pada tubuh Zara Qairina Mahathir ketika dia dirawat dan pengurusan jenazahnya di Hospital Queen Elizabeth (HQE), 17 Julai tahun lalu.

Saksi inkues kematian Zara, Nur Shira Abdullah, 46, yang melihat kesan kecederaan itu memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Menerusi keterangan bertulis, dia yang juga kakak ipar ibu Zara, Noraidah Lamat, menceritakan kecederaan dilihatnya dari kepala hingga kaki dan penjelasan doktor mengenai kecederaan yang dialami.

“Semasa melihat Zara di hospital dan pengurusan jenazah, saya ada memerhatikan keadaan fizikalnya. Pada bahagian kepala terdapat kawasan rambut yang dicukur namun saya tidak melihat luka terbuka besar atau kesan jahitan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Pada bahagian kepala sebelah kiri berhampiran kawasan rambut yang dicukur, apabila saya menyentuhnya, saya merasakan keadaan seperti lembik dan berair di bahagian dalam kepala.

“Pada bahagian belakang badan, saya melihat kesan lebam yang jelas terutama di kawasan rusuk dalam bentuk garis panjang dari pinggang hingga ke bahu dan lebam tersebut kelihatan berwarna biru kehitaman.

“Saya juga melihat kesan lebam halus seperti urat yang menjalar di bahagian belakang badan. Bahagian tangan dan kaki kiri Zara dibalut oleh pihak hospital dan saya mendapati tubuh Zara kelihatan kekuningan.

“Saya tidak melihat tulang kaki yang terkeluar secara luaran namun saya melihat keadaan buku lali yang kelihatan terkehel,” katanya, menurut Berita Harian.

Dia sebelum itu memberitahu mahkamah telah dimaklumkan Noraidah mengenai kejadian menimpa Zara di WhatsApp pada 10.20 pagi, 16 Julai sebelum membeli tiket penerbangan ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika di hospital, dia bercakap dengan doktor wanita bertugas di wad yang menjelaskan kecederaan Zara berdasarkan laporan perubatan dibacanya, termasuk kecederaan serius di kepala, kerosakan teruk di tengkorak dan keadaan otak yang tidak lagi berfungsi.

“Doktor juga menerangkan kemungkinan terdapat kerosakan pada saraf tunjang belakang akibat impak yang kuat, patah pada tulang dan kaki serta kecederaan pada buku lali kiri.

“Doktor itu turut memaklumkan kemungkinan berlaku pendarahan dalaman yang teruk sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organ,” katanya.

Katanya, dia diberitahu prosedur CPR untuk membantu pernafasan dan edaran darah serta penggunaan mesin kejutan elektrik jantung tidak dapat dilakukan kerana keadaan Zara sangat kritikal.

Selain itu, Nur Shira berkata remaja terbabit juga tidak sedarkan diri dan kritikal serta ‘mati otak’, ketika dia hadir ke hospital pada 17 Julai.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga