Kes tembak Bangsar: Pemandu lori didakwa cuba bunuh
Kes tembak Bangsar: Pemandu lori didakwa cuba bunuh

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cubaan membunuh seorang lelaki dalam kejadian tembakan di luar pusat hiburan di Bangsar bulan lalu.

Tertuduh didakwa cuba bunuh ahli perniagaan besi buruk

A. Lekeswaran, 27, didakwa cuba membunuh pemilik perniagaan besi buruk B. Yoga Sundram, 41, di hadapan sebuah premis hiburan di Jalan Telawi, Bangsar, kira-kira pukul 3.15 pagi pada 22 April.

Tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pendakwaan bantah jaminan

Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha membantah pemberian jaminan dengan alasan kesalahan itu serius dan mangsa masih dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Memberikan jaminan adalah tidak sesuai kerana ia mungkin membolehkan tertuduh melarikan diri, dan terdapat juga kemungkinan gangguan terhadap mangsa dan saksi pendakwaan.

“Difahamkan juga bahawa tertuduh dijangka akan berdepan pertuduhan berkaitan senjata api di Mahkamah Klang. Oleh itu, saya membantah permohonan jaminan dan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan,” katanya.

Peguam mohon jaminan

Peguam Muhammad Izz Khan Mohd Nor Khan, yang mewakili tertuduh, merayu untuk jaminan dan memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya bersedia mematuhi apa-apa syarat tambahan yang dikenakan.

Bagaimanapun, Hakim Mazuliana Abdul Rashid menolak jaminan dan menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga