Seorang ibu tunggal dan seorang jurujual didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 16 pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.
Tertuduh, Shareen Noordin David Noordin, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad, menurut laporan Sinar Harian.
Pertuduhan terhadap Shareen Noordin
Berdasarkan pertuduhan, Shareen didakwa atas sembilan pertuduhan sebagai pemilik SN Super Clean Solution kerana memberi ejen Perkeso dokumen Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi pernyataan palsu bagi memperdayakan prinsipalnya. Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat di No. 51, Lorong Chengal, Taman Sunlight antara 31 Mac hingga 4 September 2024.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa bersama Neoh Wooi Lee, 49, selaku pemilik Century Super Solution mengemukakan dokumen sama yang mengandungi pernyataan palsu kepada ejen Perkeso bagi tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0. Perbuatan itu didakwa dilakukan di alamat sama antara 26 Mei hingga 26 Ogos 2024.
Pertuduhan terhadap Neoh Wooi Lee
Manakala Wooi Lee turut didakwa sembilan pertuduhan kerana didakwa bersubahat dengan Shareen Noordin dalam mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu melibatkan SN Super Clean Solution bagi tempoh antara 31 Mac hingga 4 September 2024.
Bagi pertuduhan bersama, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Shareen pula didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 manakala Wooi Lee didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama dibaca bersama Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman serupa.
Prosiding mahkamah dan jaminan
Pegawai Pendakwa SPRM Nanthini Gunaseigaran mengendalikan pendakwaan, Shareen Noordin tidak diwakili peguam manakala Wooi Lee diwakili peguam Sheshalini Ramesh. Terdahulu, Nanthini mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat kedua-dua tertuduh melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.
Sheshalini memohon jaminan minimum untuk anak guamnya dengan alasan tertuduh masih menyara anak serta menghidap penyakit buah pinggang manakala Shareen Nordin memaklumkan mahkamah dia perlu menjaga cucu kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan 10 September.



