KUALA LUMPUR, 18 Jun — Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, didorong oleh jangkaan kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada tahun ini yang meningkatkan permintaan terhadap mata wang hijau itu.
Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1145/1195 berbanding dolar AS daripada 4.0665/0700 pada penutup dagangan Selasa.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata jangkaan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Fed tahun ini terus menyokong dolar AS.
“Ini walaupun ramalan Fed untuk kadar dana persekutuan yang lebih rendah iaitu 3.6 peratus pada 2027 dan 3.4 peratus pada 2028, berbanding 3.8 peratus pada 2026.
“Oleh itu, kami percaya terdapat reaksi mengejut di kalangan pedagang kerana Fed juga meninggalkan panduan ke hadapan dalam kenyataan yang disertainya,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.5588/5620 daripada 2.5360/5384 pada penutup Selasa dan jatuh berbanding euro kepada 4.7222/7280 daripada 4.7175/7216. Walau bagaimanapun, ia mengukuh berbanding pound British kepada 5.4476/4542 daripada 5.4552/4599 sebelumnya.
Berbanding mata wang serantau, mata wang tempatan rendah.
Ia lemah berbanding baht Thailand kepada 12.5611/5809 daripada 12.5027/5192 pada penutup Selasa, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 231.2/231.5 daripada 229.3/229.7 sebelumnya, menurun berbanding peso Filipina kepada 6.79/6.80 daripada 6.74/6.75 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1898/1939 daripada 3.1722/1752. — Bernama



