MERSING: Polis telah menahan dua anggota tentera bagi membantu siasatan berhubung kejadian di Kem Tentera Sri Iskandar, Mersing pada 14 Mac lalu yang menyebabkan seorang komando mengalami patah tengkorak.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata kedua-dua suspek yang berusia 24 tahun dan berasal dari kem yang sama ditahan kira-kira jam 11.45 malam pada hari kejadian.
“Kami turut merampas sebatang rotan sepanjang 72 sentimeter yang dipercayai digunakan sebagai senjata,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Ab Rahaman berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kedua-duanya negatif dadah.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri semalam untuk arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara.
“Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.
Ab Rahaman menambah, mangsa yang berusia 25 tahun kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata tindakan yang sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
Mangsa, Komando Abdul Hamid Talib, 25, didakwa dipukul semasa latihan di Kem Sri Iskandar, Mersing, sehingga cedera parah.
Penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran, yang mewakili keluarga Hamid, menuntut kes itu diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh dan mereka yang bertanggungjawab didakwa.
Beliau berkata, komando itu mengalami kecederaan parah, dengan “sebahagian tengkoraknya terdedah” akibat hukuman yang didakwa dijalankan di kem berkenaan.
Hamid kini tidak boleh bercakap dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.



