Notis rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, Jumaat. Yang di-Pertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, memaklumkan penyerahan dokumen itu bertujuan memaklumkan secara rasmi pembubaran dewan yang telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semalam.
“Setelah notis diserahkan, SPR akan bertindak dan menentukan tarikh yang sesuai untuk pilihan raya negeri,” katanya kepada Bernama semalam.
Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan bahawa DUN akan dibubarkan berkuat kuasa 5 Jun bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Pada pilihan raya negeri 2023, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas memenangi 31 daripada 36 kerusi DUN. PH memperoleh 17 kerusi, manakala BN mendapat 14 kerusi. Perikatan Nasional (PN) memenangi baki lima kerusi.
Negeri Sembilan merupakan negeri kedua yang membubarkan DUN selepas Johor yang berbuat demikian pada Isnin lepas.



