Nada serbu pusat transit dadah di Terengganu, 196 penagih ditahan termasuk dua penjawat awam
Nada serbu pusat transit dadah Terengganu, 196 ditahan

Agensi Antidadah Kebangsaan (Nada) menahan seramai 196 penagih dadah termasuk tiga wanita dalam satu operasi di Terengganu. Operasi yang dijalankan dari Rabu hingga hari ini di daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut dan Dungun turut menahan dua penjawat awam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Nada, Mahadzir Elias berkata, satu lokasi dikenali sebagai 'Port Pekat Bayu' yang menjadi pusat transit utama penjualan dadah telah diserbu dan 35 individu yang disyaki dalam keadaan mabuk dadah ditahan di situ.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi tersebut di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Nada Terengganu, Arzmi Abdullah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Penagih yang ditahan dalam operasi tiga hari itu berusia antara 19 hingga 66 tahun. Seramai 159 daripada mereka positif methamphetamine, 34 positif ketum, dua positif ganja dan seorang positif heroin.

Dalam satu kejadian, seorang penagih dadah menghunus pisau ke arah lima anggota Nada ketika serbuan di sebuah rumah di daerah ini hari ini. Mahadzir berkata, lelaki itu menyerah diri 10 minit kemudian dan ditahan.

Tiada sebarang kecederaan dalam kejadian itu, katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga