PETALING JAYA: Satu poster tular yang mendakwa wujudnya program “bantuan tunai DAP” untuk penganut Kristian di Malaysia adalah palsu, kata Keuskupan Agung Roman Katolik Kuala Lumpur.
Canselor Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Clarence Devadass, berkata poster yang menampilkan Uskup Agung Kuala Lumpur, Julian Leow, itu tidak mengandungi maklumat sahih atau disahkan.
“Penyebaran kandungan yang mengelirukan boleh menyebabkan kekeliruan yang tidak perlu dan menjejaskan kepercayaan awam. Kami amat menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila berhadapan dengan bahan yang tidak disahkan dalam talian.
“Kami menggalakkan semua orang untuk bergantung sepenuhnya kepada saluran rasmi untuk mendapatkan kemas kini dan maklumat. Sebarang pengumuman atau kenyataan akan dikeluarkan secara langsung melalui saluran rasmi kami sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Poster tersebut mendakwa program bantuan itu adalah untuk penganut Kristian yang ingin dilatih sebagai paderi dan memerlukan bantuan kewangan.
Poster yang kelihatan dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) itu memaparkan Leow dan lambang dengan perkataan “Unifor Malaysia”. Unifor adalah akronim bagi Unit untuk Agama Lain (Unit for Other Religions) kerajaan Sarawak, yang menguruskan hal ehwal penganut bukan Islam.
Tiada entiti bernama Unifor Malaysia.
Keuskupan Agung mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi.



