SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 75 tahun bagi membantu siasatan kejadian langgar lari yang membabitkan tiga pejalan kaki di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Klang Utara, S Vijaya Rao, berkata warga emas itu ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi semalam hasil maklumat orang awam susulan insiden yang menyebabkan dua mangsa maut dan seorang lagi cedera parah.
“Semakan mendapati warga emas itu tidak mempunyai rekod jenayah atau narkotik dan dia akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Ahmad Fadzli Abdullah, melalui talian 017-5843860.
Semalam, Vijaya Rao dilaporkan berkata, dua beradik maut, manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh tiga pejalan kaki dalam kes yang dipercayai langgar lari di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang pada 15 Mei lalu.
Beliau berkata, mangsa maut adalah dua wanita berusia 57 dan 62 tahun, manakala remaja 17 tahun yang juga anak kepada salah seorang mangsa cedera parah.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



