PUTRAJAYA, 19 Mei — Seorang wanita dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang semalam selepas mengaku bersalah menyebarkan maklumat palsu mengenai harga petrol dan diesel melalui media sosial.
Kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tertuduh, Nur Irsalina Omar Kumar, didakwa memuat naik satu hantaran yang diedit menyerupai kandungan rasmi Buletin TV3 melalui akaun Threadsnya, “its.ellsaleena_”, pada 31 Mac lalu.
“Hantaran tersebut mengandungi maklumat palsu tentang kenaikan harga minyak. Tindakan itu mengelirukan orang ramai dan menimbulkan kebimbangan terhadap kos sara hidup,” kata MCMC.
Hukuman dan Bayaran Denda
MCMC memaklumkan bahawa mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Bagaimanapun, tertuduh telah pun membayar denda tersebut.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peringatan Kepada Orang Awam
MCMC menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu, terutamanya mengenai perkara yang menjadi kepentingan awam, boleh memberi implikasi negatif terhadap kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya, dan menggunakan platform dalam talian secara bertanggungjawab. — Bernama



