RCI dedah perakaunan kreatif dan campur tangan politik belenggu kewangan TH
RCI dedah perakaunan kreatif, pengaruh politik belenggu kewangan TH

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati Tabung Haji (TH) menyembunyikan kedudukan sebenar kewangannya selama bertahun-tahun, apabila melaporkan keuntungan RM3.4 bilion pada 2017, sedangkan ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion di bawah piawaian perakaunan yang betul – iaitu jurang hampir RM4.8 bilion. Suruhanjaya dianggotai enam ahli yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Raus Sharif, berkata percanggahan berkenaan berpunca daripada perubahan dasar penurunan nilai, kerugian tidak direkodkan daripada pelaburan bermasalah, serta membuat ‘amalan perakaunan kreatif’ bagi pengisytiharan keuntungan tahunan atau hibah kepada penyimpan.

Pengaruh politik dan bayaran hibah tidak mampan

RCI menyatakan beberapa pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah TH yang dilantik antara 2014 hingga 2018 merupakan ahli politik yang masih aktif, dan mendapati keputusan berhubung kadar hibah, bayaran haji serta bantuan kewangan dalam tempoh tersebut dipengaruhi pertimbangan politik. Laporan itu juga memaklumkan menteri yang memantau TH juga mempunyai kuasa mutlak memecat Ahli Lembaga Pengarah tanpa sebarang alasan – kuasa yang telah digunakan menamatkan perkhidmatan seorang ketua pegawai eksekutif dan pengerusi sebelum tempoh perkhidmatan mereka berakhir.

Suruhanjaya itu mendapati, keputusan TH mengekalkan bayaran hibah tinggi antara 2014 hingga 2017 telah melebihi keupayaan kewangannya serta menyusutkan rizab syarikat. Pulangan yang menarik itu menggalakkan penyimpan mengekalkan simpanan wang yang besar di TH, sekali gus meletakkan tekanan ke atas institusi berkenaan untuk terus memberikan agihan tinggi. Hal ini mendedahkan TH kepada risiko pengeluaran dalam jumlah besar sekiranya kadar hibah dikurangkan, seperti yang berlaku pada 2019 apabila simpanan menurun daripada kira-kira RM73 bilion kepada RM69 bilion, susulan pengumuman kadar hibah 1.25%.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

‘Amalan perakaunan kreatif’ tutup kerugian TH

Laporan RCI turut mendapati TH menggunakan ‘perakaunan kreatif’ dengan mengguna pakai nilai aset yang boleh direalisasikan (RAV), dan bukannya nilai aset yang dilaporkan dalam penyata kewangan teraudit, untuk menentukan keupayaannya mengisytiharkan bayaran hibah. Langkah itu telah menjurus penilaian aset lebih tinggi dan membolehkan agihan lebih besar dibuat, berbanding keupayaan kedudukan kewangan sebenar TH.

Suruhanjaya itu turut mengkritik Jabatan Audit Negara kerana tidak tegas mengaudit penyata kewangan TH, antara 2014 hingga 2017. Ia mendapati bahawa walaupun jabatan itu mengeluarkan pendapat audit tanpa teguran bagi 2017 apabila mengetengahkan ‘Emphasis of Matter’, ia kemudiannya mengakui dalam jawapan bertulis kepada perdana menteri bahawa ia telah mengelak daripada mengeluarkan ‘pendapat berteguran’, yang secara tidak langsung akan mempengaruhi ekspektasi dan persepsi negatif khususnya kepada pendeposit. Katanya, Jabatan Audit Negara tidak sepatutnya memberi sijil audit bersih pada 2017.

Bagi mengekalkan bayaran hibah tinggi, TH mengambil risiko pelaburan yang lebih besar, dengan portfolionya menjadi semakin terdedah kepada ekuiti dan ketidaktentuan pasaran. Secara keseluruhan, RCI merumuskan keghairahan untuk membayar agihan keuntungan tinggi, memilih menjadi kreatif dalam amalan perakaunan, mengambil risiko pelaburan berlebihan, dan peningkatan kewajipan subsidi menjurus tekanan kewangan signifikan ke atas TH.

Laporan setebal 252 halaman itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022 dan dinyahklasifikasikan hari ini. RCI mengesan punca masalah kewangan TH daripada campur tangan politik dalam pelantikan Ahli Lembaga Pengarah, pembayaran hibah yang tidak mampan, serta ketidaktegasan Jabatan Audit Negara dalam dapatannya berikutan kebimbangan terhadap keyakinan penyimpan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga