PETALING JAYA: Lapan individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembekuan beberapa akaun bank milik peruncit fesyen Padini Holdings Bhd, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Azam berkata setakat ini keterangan telah diambil daripada 10 individu, lapor Berita Harian. "Lagi 15 individu sedang dikesan untuk diambil keterangan, dan siasatan masih dijalankan," katanya pada sidang akhbar selepas mempamerkan empat karya seni yang dipulangkan berkaitan 1MDB di sini hari ini.
Azam berkata pembekuan aset syarikat itu kekal berkuat kuasa. "Pegawai penyiasat berpendapat aset syarikat perlu terus dibekukan," katanya.
Pada akhir April, SPRM membekukan beberapa akaun milik Padini dan anak syarikatnya sebagai sebahagian daripada siasatan pengubahan wang haram. Peruncit fesyen itu berkata pembekuan itu berkaitan dengan siasatan yang melibatkan beberapa pihak ketiga di luar syarikat, dan ia telah melantik peguam untuk menyahbekukan akaun yang terjejas sementara operasi perniagaan diteruskan seperti biasa.
Azam Baki menambah bahawa siasatan sedang giat dijalankan untuk mengesan individu lain yang mungkin terlibat. Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.



