Balai Raya Pulau Besar menjadi pusat mengundi pertama yang ditutup dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini, selepas 32 pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Pusat mengundi pulau tutup lebih awal
Pegawai Pengurus Tempat Mengundi (PTM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Jamil Hasni Abdullah, memaklumkan pusat mengundi yang mempunyai satu saluran dan 32 pengundi berdaftar itu ditutup pada pukul 11 pagi.
Beliau berkata pusat mengundi di Balai Raya Pulau Aur dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil ditutup pada tengah hari, manakala Balai Raya Pulau Sibu dan SK Pulau Tinggi ditutup pada pukul 2 petang.
Kesemua pusat mengundi di lima pulau itu menampung 690 pengundi berdaftar.
Peratusan keluar mengundi meningkat
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan 42.16 peratus atau 1,130,980 daripada lebih 2.6 juta pengundi telah membuang undi setakat pukul 1 tengah hari.
Proses pengundian dijadualkan berterusan sehingga pukul 6 petang ini. Untuk perkembangan terkini PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor. — Bernama



