OKU antara pengundi terawal tiba di pusat mengundi walaupun hujan lebat
OKU antara pengundi terawal tiba biarpun hujan

MUAR: Hujan sejak awal pagi tidak menghalang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebaik pusat mengundi dibuka. Yusaini Mihmed Yusof, 52, yang hilang kedua belah kaki, berkata walaupun dalam keadaan cuaca tidak mengizinkan, dia tetap bersiap seawal pagi demi melaksanakan tanggungjawabnya.

OKU antara pengundi terawal

“Saya bangun seawal 6.30 pagi untuk keluar mengundi di DUN Maharani. Saya berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menjalankan amanah dengan baik dan memberi perhatian terhadap kebajikan semua termasuk golongan OKU,” katanya yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muar.

Yusaini yang tiba di pusat mengundi seawal 7 pagi menggunakan kerusi roda, turut dibantu oleh petugas pilihan raya untuk memasuki saluran mengundi. Beliau antara pengundi pertama yang hadir di SMK Muar pada pagi itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Seruan kepada golongan muda

Manakala Jasmin Sie, 38, pula menyeru lebih ramai golongan muda keluar mengundi dan memilih wakil rakyat yang benar-benar berkeupayaan untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu. Dia turut mengingatkan pengundi membuat pilihan dengan bijak kerana keputusan yang dibuat akan memberi kesan kepada masa depan kawasan itu.

“Jangan anggap semua parti sama. Kalau salah pilih, nasib kita mungkin tidak baik. Kalau pilih wakil rakyat yang betul, masa depan kita boleh jadi lebih baik,” katanya.

Pasangan suami isteri dan anak beranak

Sementara itu, pasangan suami isteri Nor Azman Nayan, 63, dan Nor Hahayati Selahhudin, 59, berkata mereka keluar awal untuk mengelakkan kesesakan di pusat mengundi. “Kami datang awal bersama-sama untuk elak sesak. Kami tak pernah terlepas mengundi walau apa pun yang berlaku,” katanya.

Pasangan anak beranak, Norani Ibnu Masooda, 31, dan ibunya, Bibi Mahmud, 69, yang juga pengundi luar berkata mereka pulang dari Melaka seawal 6 pagi untuk mengundi di DUN Maharani. “Kos perjalanan pulang dan segala perbelanjaan kami tanggung sendiri kerana ingin menunaikan tanggungjawab yang akan menentukan masa depan kawasan dan negara,” katanya.

Pertandingan empat penjuru

SMK Muar antara saluran mengundi bagi DUN Maharani yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Muda. Anuar Hayan, calon parti penyandang mewakili PN manakala BN diwakili calonnya, Ashari Md Sarip, Amir Jack (Muda) dan Taqiuddin Cheman (PH).

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga