Secara jujurnya kita masih hidup aman. Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional semuanya sudah 'merasa' jadi kerajaan. Membaca tajuk berita pilihan raya Malaysia di akhbar atau menonton berita mengenainya di televisyen, seolah-olah negara kita ini sedang bersiap sedia untuk berperang. Itulah yang saya rasa sejak kecil lagi.
Luahan Kebimbangan Keluarga
Luahan kebimbangan kedua orang tua sewaktu menunggu keputusan pilihan raya, meskipun malamnya mereka tidur nyenyak, menggambarkan negara dalam keadaan cemas. “Jangan keluar ke pekan sehari dua ni, bahaya. Takut-takut orang mengamuk.” Pesan mak saya dahulu kepada saya yang masih belasan tahun. Dia merujuk kepada kemungkinan kesan pasca pilihan raya. Manalah tahu ada pihak tidak puas hati dengan keputusan dan bertindak di luar kawalan. Saya pun takut jugalah.
Pilihan Raya Digambarkan Seperti Peperangan
Hari ini keadaannya masih hampir sama. Pilihan raya digambarkan seperti peperangan. Lihat sahaja istilah yang sering digunakan. Kubu kuat. Pertembungan sengit. Kuburkan parti mereka. Tawan kerusi. Semboyan perang sudah berbunyi. Tsunami politik. Tak ngeri kita mendengarnya? Yang peliknya, apabila hari mengundi tiba, apa yang berlaku sebenarnya sangat aman. Orang beratur. Mak cik tua dipimpin. OKU dibantu. Kita ambil kertas undi dan masuk ke tempat mengundi. Kita pangkah calon pilihan dan masukkan kertas ke dalam peti undi. Selesai, kita pun pulang ke rumah menunggu keputusan malamnya nanti. Segala jerit-pekik, bakar semangat, acung tangan dan serang-menyerang ketika berkempen tiba-tiba lenyap pada hari mengundi.
Drama Politik dan Naratif
Itulah drama politik. Politik, seperti hiburan, memerlukan naratif. Dan semestinya naratif peperangan berkesan mengganggu psikologi manusia. Inilah propaganda politikus dalam menggunakan media mereka. Dalam dunia media ada satu ungkapan: “If it bleeds, it leads.” Maksudnya, sesuatu yang mempunyai unsur konflik, drama atau ketegangan akan lebih mudah menarik perhatian orang ramai. Sebab itu hampir setiap kali pilihan raya menjelang tiba, kita akan mendengar ayat yang hampir sama. ‘Ini pilihan raya paling penting dalam sejarah negara’. ‘Selamatkan Malaysia’. ‘Ini kalilah!’ Saya sudah mendengar ayat yang sama sejak berpuluh tahun dahulu. Pilihan raya tahun itu paling penting. Pilihan raya selepas itu juga paling penting. Yang berikutnya pun paling penting. Entah berapa banyak pilihan raya paling penting yang sudah kita lalui. Kempen ini terus berulang untuk menangkap emosi kita. ‘Malaysia Baharu!’ ‘Politik Baharu!’ ‘Reset!’
Psikologi Ketakutan
Dalam psikologi ada satu konsep yang dipanggil ‘loss aversion’. Manusia lebih takut kehilangan sesuatu berbanding gembira memperoleh sesuatu yang baharu. Ketakutan ialah alat motivasi yang sangat berkesan. Jika seseorang diberitahu bahawa dia mungkin kehilangan sesuatu yang berharga, dia akan bertindak lebih pantas berbanding apabila dijanjikan ganjaran. Dalam perniagaan ‘multi-level-marketing’ atau ‘insurans’ juga kerap digunakan taktik ini. Politikus juga memahami perkara ini. Malah dalam kehidupan beragama manusia sendiri, unsur balasan ganjaran dan azab hukuman sering digunakan untuk mempengaruhi tingkah laku. Manusia memang lebih mudah bertindak apabila berdepan kemungkinan kehilangan sesuatu yang dianggap penting. Maka lahirlah pelbagai bentuk perang psikologi. Negara akan bankrap. Ancaman kuasa asing. Anasir jahat sedang bergerak. Lawan politik mahu menghancurkan negara. Undi kami masuk syurga. Berbagai-bagai!
Era Reformasi dan Propaganda
Pada era Reformasi 1998 sehingga bertahun-tahun selepas itu, saya sering mendengar pelbagai label seperti ini daripada pelbagai pihak. Di media arus perdana ada versinya. Di media propembangkang juga ada versinya. Sebagai rakyat biasa, saya menggelabah juga. “Apalah nak jadi dengan negara kita ni?” Ketakutan itu telah ditanam kepada kita. Lawan politik digambarkan sebagai terlalu jahat. Ia bukan lagi tentang amalan sihat dalam melaksanakan sistem demokrasi tetapi ia adalah perlawanan. Musuh politik perlu dikalahkan walau apa cara sekalipun. Kita rakyat biasa tidak kira di bandar atau di desa termakan dengan propaganda ini. Adik-beradik boleh bergaduh kerana parti politik yang berbeza. Rumah tangga berantakan. Komuniti berpecah-belah. Prasangka perkauman meningkat. Lucunya, apabila ahli politik selesai bertekak, bertikam lidah dan saling menyerang di dalam sidang dewan sehingga penonton di rumah menyangka pergaduhan fizikal bakal tercetus pada bila-bila masa, boleh pula selepas itu mereka duduk semeja di kafeteria sambil bergelak ketawa dan menghirup kopi bersama. Malah, pada pilihan raya umum yang lalu menyaksikan parti-parti politik telah bergabung membentuk kerajaan bersama walaupun pada musim berkempen mereka saling londeh-melondeh keburukan antara satu sama lain. Para penyokong di kejiranan saya yang sebelum ini berdegar-degar menghentam kawan mereka yang berlainan parti, saya lihat mula malu-malu alah. Nak buat macama mana, terpaksalah berkawan.
Hakikat Sebenar Pilihan Raya
Hakikat sebenar yang harus kita semua fahami ialah, pilihan raya sebenarnya dicipta untuk mengelakkan peperangan. Pada zaman dahulu, perebutan kuasa sering diselesaikan dengan pertumpahan darah. Demokrasi memperkenalkan cara yang jauh lebih bertamadun. Daripada berperang, sokongan rakyat dihimpunkan dengan memberi undi kepada parti politik yang berdaftar. Rakyat memilih seorang wakil di kawasan mereka untuk bersuara di dewan. Dari situ, pentadbiran berjalan. Itu prinsip asasnya. Begitulah yang Malaysia amalkan semenjak merdeka. Dan kita telah melaluinya dengan baik, menurut pemerhatian saya. Melalui lima belas kali pilihan raya, kita mempunyai pengalaman dan sejarah berlakunya pertukaran kerajaan (negeri dan persekutuan) hasil pilihan raya dan perubahan sokongan politik. Sudah tentu proses itu tidak sunyi daripada perdebatan, ketegangan dan pelbagai kontroversi. Namun jika dibandingkan dengan banyak negara lain yang berdepan konflik atau keganasan apabila berlaku perubahan kuasa, kita masih patut bersyukur. Pertukaran tersebut berlaku melalui proses demokrasi yang secara umumnya berjalan dengan aman dan licin. Tiada pernah berlaku insiden kekacauan besar yang benar-benar melumpuhkan negara. Negara juga pernah melalui detik-detik yang sukar dalam sejarahnya, namun sistem demokrasi dan institusi negara masih mampu bertahan. Itu satu pencapaian yang kadangkala kita pandang ringan. Dan itulah yang harus kita sama-sama kekalkan.
Realiti Politik di Malaysia
Tapi, kita masih lagi ribut-ribut dan masih terikut-ikut dengan budaya ‘menakut-nakutkan’ ini. Bukankah kita telah melalui fasa di mana hampir semua parti politik terbesar tanah air pernah menjadi kerajaan? Baik ketika dunia sedang bergerak ke era kemodenan, ketika ekonomi global bergelora, malah ketika dunia berdepan dengan krisis pandemik. Secara jujurnya, kita masih hidup aman. Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional semuanya sudah ‘merasa’ jadi kerajaan. Tugas kita adalah untuk memilih yang mana kita yakin mampu memberikan kestabilan dalam negara kita. Tak usah haru-biru bergaduh dengan ipar-duai atau menantu. Kita tetap begini. Harus bekerja mencari rezeki, membayar bil setiap bulan dan menyara keluarga walau siapa pun yang memerintah. Kalau kita beria-ia, takut itu dan ini, saya ingin mengajak semuanya untuk bertanya kepada diri kita sendiri satu soalan yang mungkin sedikit tidak selesa: “Setiap kali satu penggal berakhir, kehidupan siapakah yang sebenarnya menjadi lebih baik? Kita? Atau politikus?” Itu saja. Dan kita kena faham, selalunya pihak yang suka menakut-nakutkan kita sebenarnya merekalah yang lebih takut. Takut kehilangan kedudukan. Kita macam ini juga. Ini pun psikologi juga. Faham, ya?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



