BATU PAHAT: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Senggarang Onn Abu Bakar mendakwa wujud isu ‘undi hantu’ di sebuah pusat mengundi dalam kawasan itu hari ini. Onn berkata, perkara itu dikesan di pusat mengundi SMK Senggarang kira-kira 10.30 pagi tadi. Katanya, beliau dimaklumkan bahawa seorang pengundi tidak dapat mengundi kerana namanya telah digunakan oleh individu lain.
Laporan Polis Telah Dibuat
Onn berkata, satu laporan polis dibuat oleh pengundi lelaki berusia 25 tahun itu di Balai Polis Senggarang pada 11 pagi tadi berhubung perkara tersebut bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa. “Saya minta orang ramai mengundi dari sekarang dan pastikan undi masing-masing selamat dan tidak digunakan oleh orang lain,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook.
Gesaan Kepada SPR
Onn menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar memastikan semua pengundi yang layak terutama di DUN Senggarang dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing. Pada PRN kali ini, Onn berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang Mohd Yusla Ismail dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd Rashid Hasnon yang mewakili Perikatan Nasional (PN).



