Polis Selangor terima 280 laporan karikatur hina Sultan
Polis Selangor terima 280 laporan karikatur hina Sultan

SHAH ALAM, 4 Mei — Sebanyak 280 laporan polis telah diterima setakat semalam berhubung penyebaran karikatur di media sosial yang mengandungi unsur menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 25 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata laporan tersebut diterima dari seluruh negara, dibuat oleh pelbagai pihak yang mengutuk apa yang digambarkannya sebagai tindakan provokasi melampau.

“Siasatan kini dijalankan di bawah RPT Bandar Kinrara: 4809/26 dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Tumpuan utama siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah untuk mengesan dan menangkap mereka yang bertanggungjawab mencemarkan kedaulatan institusi diraja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shazeli turut menasihati orang ramai untuk menyerahkan proses siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan mengelak daripada membuat komen atau spekulasi yang boleh mengganggu kes.

Beliau berkata sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan apabila perlu.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, exco negeri dan pertubuhan bukan kerajaan telah menyeru PDRM dan MCMC mengambil tindakan tegas terhadap hantaran yang dianggap menghina Sultan Selangor itu. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga