Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, mencabar Ahli Parlimen PKR yang berpihak kepada bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, untuk keluar parti dan mengosongkan kerusi mereka sekarang.
Pua yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin DAP berkata, beliau tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Rafizi dan bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, tetapi mengakui hak mereka untuk menentukan haluan sendiri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Ahli Parlimen lain yang berniat untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang atas tiket parti lain, walaupun sebelum ini dipilih sebagai anggota PKR, patut mengosongkan kerusi mereka sekarang.
“Mereka yang berani menyatakan hasrat untuk menentang parti sendiri pada PRU16, tetapi tidak mahu meletak jawatan atau mengosongkan kerusi, hanyalah pengecut yang mementingkan diri sendiri dan tidak sanggup kehilangan baki elaun MP mereka.
“Mereka patut dibuang oleh pengundi tanpa mengira parti mana yang akhirnya mereka wakili dalam pilihan raya akan datang. Malah, pengundi mereka patut segera memohon supaya mereka meletak jawatan,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Rafizi dan Nik Nazmi umum langkah baharu
Semalam, bekas menteri Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan bahawa mereka akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia untuk menetapkan haluan politik baharu bagi diri mereka dan penyokong.
Mereka juga mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Lima Ahli Parlimen PKR iaitu Rodziah Ismail (Ampang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), S Kesavan (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju) hadir dalam sesi fotografi bersama dua pemimpin itu.
Seorang lagi Ahli Parlimen yang menghadiri sidang akhbar itu ialah Lee Chean Chung (Petaling Jaya).



