Tiada perbincangan rasmi penyertaan kumpulan Hamzah ke PN
Tiada perbincangan rasmi kumpulan Hamzah sertai PN

KUALA LUMPUR: Belum ada perbincangan rasmi berhubung penyertaan pengikut dan penyokong Hamzah Zainudin ke dalam Perikatan Nasional (PN). Timbalan Pengerusi PN, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setakat ini kumpulan itu juga belum membuat permohonan untuk dipertimbangkan.

Kenyataan Tuan Ibrahim

“Kita belum bincang lagi perkara itu dan mereka (kumpulan penyokong Hamzah) juga belum membuat permohonan rasmi untuk masuk PN,” katanya. Beliau ditemui di ibu pejabat PAS selepas pelancaran Sekretariat Malaysia-Aid4Iran yang turut dihadiri Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

Timbalan presiden PAS itu berkata, setakat ini empat parti membuat permohonan rasmi untuk menyertai PN, bagaimanapun pihaknya memerlukan masa untuk meneliti beberapa dokumen sebelum keputusan rasmi dibuat. PN adalah gabungan terdiri PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kenyataan Hamzah Sebelum Ini

Sebelum ini, Hamzah menegaskan tidak akan meninggalkan PN dalam perjuangan politiknya walaupun dipecat Bersatu, sambil membayangkan penyertaan ke ‘rumah baharu’ dalam masa terdekat. Semalam, Berita Harian melaporkan hasrat kumpulan Hamzah menyertai parti politik sedia ada dengan rancangan kekal berada dalam PN tidak kesampaian selepas gabungan itu memutuskan tidak menerima penyertaan parti baharu sebagai anggota buat masa ini.

Sumber dihubungi memaklumkan, pendirian diambil PN berikutan bantahan keras pimpinan Bersatu ketika mesyuarat Majlis Tertinggi PN Sabtu lalu, yang menolak penerimaan parti gabungan baharu kerana khuatir ia menjadi ‘rumah baharu’ kepada Hamzah dan pengikutnya, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga