Rakyat Negeri Sembilan Tolak Tukar Kerajaan Tengah Penggal
Rakyat N Sembilan Tolak Tukar Kerajaan Tengah Penggal

Rata-rata warga Negeri Sembilan menolak usaha menjatuhkan kerajaan negeri di pertengahan penggal, susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun. Penduduk yang ditemui FMT berpendapat, mandat rakyat yang diberikan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir tiga tahun lalu perlu dihormati. Mereka juga bimbang kemelut politik berterusan hanya akan menjejaskan keyakinan pengundi, terutama generasi muda.

Pendapat Pesara dan Penyokong BN

Seorang pesara, Zainal Mahmod, 71, berkata kerajaan sedia ada wajar dibenarkan meneruskan pentadbiran hingga tamat penggal kerana rakyat sudah membuat pilihan. "Kalau rasa kerajaan sekarang tidak baik, tunggu pilihan raya nanti. Tiada kesudahan jika tukar di tengah," katanya. Zainal mengakui dirinya penyokong BN tetapi tetap menolak langkah menjatuhkan kerajaan. Dia turut menegaskan isu berkaitan adat di Negeri Sembilan yang dikatakan antara punca utama krisis pentadbiran tidak wajar dipolitikkan.

Krisis Institusi Perlembagaan

Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, pada Isnin dipetik berkata keputusan menarik sokongan dibuat susulan krisis yang didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum. Kerajaan Negeri Sembilan ditubuhkan menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN yang masing-masing menang 17 serta 14 kerusi pada PRN 2023. BN turut mendakwa memiliki majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu negeri itu, mengambil kira kesediaan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai lima Adun untuk bekerjasama.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kebimbangan Terhadap Generasi Muda

Bagi Rosni Majid, 72, yang telah mengundi lebih lapan kali, konflik politik berpanjangan boleh menyebabkan rakyat, terutama generasi muda, semakin tawar hati terhadap pilihan raya. "Tak mustahil kali ini BN tarik sokongan kepada PH, nanti bila BN perintah, PH pula atau pihak lain tarik sokongan. Politik jadi tidak berkesudahan... saya sendiri pun rasa malas hendak mengundi. Saya risau nanti orang muda malas keluar mengundi," katanya.

Isu Kos Sara Hidup

Pekerja swasta, P Mariama, 56, pula berkata pertukaran kerajaan atau menteri besar tidak memberi makna kepada rakyat jika isu kos sara hidup terus membebankan. "Kerajaan jatuh atau menteri besar bertukar itu hal politik. Bagi saya, lima tahun sekali pergi mengundi sudah cukup. Lepas itu kehidupan tetap sama. Harga barang tetap mahal, gaji tidak naik, rumah masih kena sewa. Kalau tukar kerajaan tetapi harga barang tidak turun, tidak guna," katanya.

Pandangan Peniaga dan Pekerja Sendiri

Bagi peniaga di Lobak yang hanya mahu dikenali Loh Wai, dia lebih menumpukan kepada kelangsungan perniagaannya yang terkesan akibat krisis global di Timur Tengah. "Semua ahli politik pun sama," kata pemilik kedai perkakasan dan bahan binaan berusia 56 tahun itu tanpa menjelaskan lanjut kenyataannya. Mohamad Luman Hakim, pekerja sendiri berusia 35 tahun, tidak menolak kemungkinan pengundi di Negeri Sembilan mungkin terpaksa kembali ke peti undi akibat tindakan 14 Adun BN terbabit. "Kalau tiada jalan selesai, lebih baik bubar DUN. Biar rakyat pilih kerajaan baharu. Jika selepas pilihan raya tiada parti dapat majoriti, serahkan kepada Tuanku (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) memilih menteri besar," katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga