KUCHING, 22 Mei — Pengguna platform media sosial perlu memuat naik dokumen rasmi kerajaan untuk pengesahan umur berikutan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berkuat kuasa 1 Jun.
Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata di bawah dua kod tersebut, iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC), dokumen yang boleh digunakan termasuk kad pengenalan dan pasport untuk menghalang pengguna bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial.
“Kami kini telah meminta platform untuk melaksanakan pengesahan umur. Pengguna perlu mengesahkan umur mereka menggunakan dokumen kerajaan seperti kad pengenalan, pasport atau dokumen rasmi lain.
“Jika hanya diisytiharkan sendiri, sesiapa sahaja boleh klik dan mendakwa mereka berusia 18 tahun ke atas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di sini hari ini.
Tempoh Pelaksanaan dan Tindakan Penguatkuasaan
Teo berkata MCMC, bagaimanapun, tidak menetapkan sebarang teknologi khusus yang perlu digunakan oleh platform untuk proses pengesahan umur.
Menurutnya, kerajaan akan memberikan tempoh yang munasabah kepada platform media sosial untuk melaksanakan proses pengesahan umur bagi akaun sedia ada sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
“Bagi akaun sedia ada yang belum melengkapkan pengesahan umur, MCMC masih membincangkan tempoh masa yang munasabah selepas berunding dengan platform media sosial yang terlibat, termasuk TikTok, Facebook dan Instagram.
“Mereka yang gagal melengkapkan pengesahan mungkin akan ditutup akaun mereka, atau platform media sosial mungkin perlu menggunakan kecerdasan buatan untuk memastikan pengguna berumur 16 tahun ke atas,” katanya.
Larangan Akaun untuk Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun
Teo berkata kerajaan sebelum ini telah memutuskan bahawa kanak-kanak di bawah umur 16 tahun tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial di platform yang mempunyai lebih daripada lapan juta pengguna di Malaysia.
Beliau berkata kedua-dua kod itu diterbitkan selepas sesi libat urus dengan pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang dijalankan sejak awal tahun ini.
Statistik Kes Penipuan Dalam Talian
Terdahulu, dalam ucapannya, Teo berkata dari Januari hingga April tahun ini sahaja, sebanyak 23,367 kes penipuan dalam talian dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM680.3 juta.
Beliau berkata sejak Kempen Internet Selamat dilancarkan pada Januari 2025 hingga 30 April tahun ini, lebih daripada 11,000 program telah dijalankan di seluruh negara membabitkan lebih 1.8 juta peserta terdiri daripada pelajar sekolah, belia, ibu bapa, pendidik, warga emas dan komuniti setempat. — Bernama



