Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa PAS Selangor bersetuju Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Datuk Seri Azmin Ali kembali mengetuai Perikatan Nasional (PN) di negeri itu. Dakwaan ini muncul ketika masih terdapat suara daripada parti tersebut yang menuntut jawatan terbabit.
Mengulas kenyataan Bendahari PAS, Datuk Iskandar Samad yang menyatakan PAS wajar mengetuai PN Selangor, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata pandangan bekas Adun Chempaka itu adalah terpencil. Beliau mendakwa dalam pertemuan dengan PAS Selangor baru-baru ini, mereka menyatakan mahu mengekalkan status quo atas dasar kesepakatan PN di negeri itu yang telah terbukti berkesan.
“Sehingga peranan pembangkang dimainkan diiktiraf oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya. “PAS Selangor mahu Azmin terus memimpin PN di Selangor.”
Dr Afif meminta Iskandar merujuk kepada PAS negeri berhubung pendirian mereka. Semalam, lidah rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan kenyataan Iskandar yang berkata PN masih berpeluang menawan Selangor, namun ia tidak bermakna sekiranya gabungan itu terus bergerak perlahan tanpa hala tuju yang jelas dan tersusun.
Menurutnya, berdasarkan realiti semasa, PAS dilihat sebagai komponen paling konsisten dalam menggerakkan jentera PN di akar umbi, yang mewajarkannya mengetuai gabungan itu di Selangor. Azmin pada 30 Disember lalu meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Selangor susulan pengunduran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi jawatan sama di peringkat pusat.
Ahad lalu, Muhyiddin berkata Bersatu telah mencadangkan nama-nama untuk menjadi Pengerusi PN Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah, yang didakwanya sebagai kuota parti tersebut. Menurut Muhyiddin, bagi Selangor nama Azmin dicadangkan memandangkan beliau juga merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.



