PETALING JAYA: Keputusan berkaitan pakatan politik PAS dengan Bersatu akan diputuskan selepas perkara itu dibentangkan kepada Majlis Syura Ulama, kata Mohd Amar Abdullah. Naib presiden PAS itu berkata, sebarang keputusan akan dibuat selepas laporan berkenaan dibentangkan kepada majlis tersebut.
“Dari situlah keputusan akan dibuat,” katanya menurut Utusan Malaysia, di Kota Bharu.
Sebelum ini, dilaporkan Presiden Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama dengan Bersatu menjelang PRU16. Hadi memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu didakwa melanggar semangat setia kawan dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut menyentuh isu di Negeri Sembilan, selain tidak puas hati dengan perkembangan di Perlis yang menyaksikan tampuk pemerintahan beralih ke Bersatu dan campur tangan pelantikan exco Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.
Perkara ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik mengenai masa depan kerjasama antara dua parti utama dalam PN itu. Mohd Amar menegaskan bahawa Majlis Syura Ulama akan membuat keputusan muktamad berdasarkan perbincangan dan laporan yang diterima.



