Kemelut Marina burukkan lagi usaha DAP pikat orang Melayu
Kemelut Marina burukkan usaha DAP pikat Melayu

PETALING JAYA: Kedudukan DAP yang sedia ada rapuh dalam kalangan pengundi Melayu berdepan satu lagi tamparan hebat susulan kemelut penyandang Adun Skudai, Marina Ibrahim, kata penganalisis politik. Naib Presiden Bersekutu The Asia Group, Asrul Sani, dan James Chin dari Universiti Tasmania, berkata isu berkenaan hanya meneguhkan lagi persepsi pemimpin dan wakil rakyat Melayu DAP—termasuk tokoh popular seperti Marina—hanya bertindak watak sampingan dalam parti didominasi kaum Cina itu.

“Ini mengukuhkan lagi cabaran sedia ada yang lebih mendalam kepada DAP: bagi meyakinkan pengundi Melayu dan bakat politik Melayu bahawa mereka boleh meningkat naik dalam parti atas merit sendiri, bukannya sekadar dilihat melalui lensa simbolisme atau utiliti pilihan raya. “Masalah persepsi itu sudah lama wujud sebelum episod ini tercetus, namun detik seperti ini menyukarkan lagi usaha untuk menidakkannya,” kata Asrul kepada FMT, sambil menambah seteru DAP pasti akan ‘mengeksploitasi sepenuhnya’ isu berkenaan.

Asrul berkata, perkara berkenaan boleh menjejaskan DAP dan secara tidak langsung Pakatan Harapan (PH), di kerusi yang mana undi atas pagar daripada masyarakat Melayu menjadi penentu. Chin berkata, DAP sememangnya digambarkan pihak lawan sebagai parti anti-Melayu dan anti-Islam. Persepsi mengenai usaha menyingkirkan Marina dari Skudai tidak akan membantu perjuangan parti tersebut, katanya. “Ia akan menjejaskan kedudukan mereka dalam kalangan Melayu yang berpotensi menyokong, yang mungkin melihat perkara ini sebagai contoh mengesahkan DAP membuli orang Melayu dalam partinya sendiri,” katanya sambil menyatakan Marina antara segelintir wakil rakyat Melayu dalam DAP.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Selain Marina, wakil rakyat Melayu lain dalam DAP adalah Ahli Parlimen Syahredzan Johan (Bangi), Young Syefura Othman (Bentong), dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera). Selain itu, parti itu mempunyai empat Adun: Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Zairil Khir Johari (Tanjong Bunga), Aziz Bari (Tebing Tinggi), dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama). Sebagai Adun penggal pertama bagi Skudai, Marina dipilih pada 2022 selepas menang kerusi majoriti Cina berkenaan dengan majoriti 13,943 undi.

Pada Ahad, beliau mengumumkan akan meninggalkan dunia politik untuk kembali melakukan kerja kemasyarakatan. Susulan pengumuman tersebut, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching mendedahkan parti merancang meletakkan Marina sebagai calon di Tiram, kawasan bercampur yang duhulunya kubu kuat Umno. Teo berkata, tanpa mengira keputusan pilihan raya, beliau berhasrat mencadangkan Marina mempengerusikan satu badan berkanun. PKR merampas Tiram pada 2018, namun Umno berjaya menawan semula empat tahun kemudian, menyaksikan calon PKR menduduki tempat ketiga dalam saingan tujuh penjuru, di belakang calon Perikatan Nasional (PN).

‘Taktik biasa DAP’

Menurut Chin, penggiliran calon DAP merupakan taktik biasa digunakan parti berkenaan meluaskan pengaruhnya, dengan menggunakan tokoh terkenal bagi memperkukuh sokongan di luar kawasan kubu kuat tradisi untuk merampas kerusi pihak lawan. Tetapi, beliau mendakwa mengikut konvensyen, langkah sedemikian biasanya berlaku apabila wakil rakyat itu sendiri yang menawarkan diri meneroka kawasan di luar Parlimen atau DUN mereka, bukannya dipindahkan keluar secara paksa. “Dalam kes ini, jelas Marina disingkirkan dan beliau bertindak memberontak terhadap kepimpinan (dengan mengambil keputusan meninggalkan dunia politik sepenuhnya). Nampaknya, beliau menolak, namun pihak kepimpinan terus menekannya (bertanding di Tiram).”

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Asrul berkata, tawaran DAP bagi jawatan dalam badan berkanun memburukkan lagi pandangan negatif dari sudut optik politik, mengambil kira parti itu sentiasa menentang pelantikan politik sebelum ini. Beliau berkata, meskipun insiden terbabit berkemungkinan besar tidak menjejaskan sokongan keseluruhan parti, ia akan melemahkan usaha jangka panjang DAP meletakkan dirinya sebagai antitesis kepada Umno, dan penyokong pasti akan cepat menyedari percanggahan berlaku. “Bagi sebuah parti yang cukup bergantung kepada kredibiliti dalam kalangan pengundi bandar dan yang berfikiran reformasi, ia bukanlah satu isu kecil. Ia juga menjadi peringatan bahawa DAP tidak dapat lari daripada realiti politik Malaysia, yang mana penempatan calon, rundingan kerusi, dan pelantikan pascapilihan raya merupakan amalan politik yang biasa terjadi. “Parti ini membina jenamanya atas dasar mahu menjadi berbeza. Episod seperti inilah yang menguji sama ada jenama tersebut mampu bertahan apabila berdepan tekanan,” katanya.