KUALA LUMPUR, 26 April — DAP sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tetap berpegang teguh pada prinsip menghormati institusi raja dan tidak pernah berkompromi dalam perkara tersebut.
Kenyataan Anthony Loke
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata pendirian itu sentiasa menjadi asas parti dalam memastikan keharmonian antara institusi raja dan sistem pentadbiran negara terpelihara.
Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa pada masa yang sama, parti memberi ruang kepada wakil rakyatnya untuk menyuarakan pandangan, kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka kepada rakyat.
"Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), mereka mesti mempunyai ruang untuk menyampaikan pandangan secara hormat dan dengan cara yang betul. Itu adalah tanggungjawab seorang wakil rakyat.
"Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa kepimpinan DAP akan mempertahankan hak Adun kami untuk menyampaikan pandangan kritis dan bernas di Dewan Undangan Negeri, walaupun mereka akan menghadapi pelbagai tekanan," katanya.
Kontroversi Kenyataan Wong Siew Ki
Beliau berkata demikian susulan kritikan terhadap Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki berkenaan kenyataannya yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan penternakan babi.
Wong, ketika membahas titah ucapan Sultan Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri, dilaporkan meminta kerajaan negeri mempertimbangkan untuk membenarkan penerokaan sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor.
Beliau menyatakan bahawa cadangan itu mengambil kira aspek kesaksamaan untuk semua warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, menurut Loke, cadangan itu telah dieksploitasi oleh pembangkang untuk menyerang parti demi kepentingan politik mereka sendiri.
"Ini sememangnya telah diambil kesempatan oleh Perikatan Nasional dan pembangkang untuk dijadikan isu, mendakwa DAP tidak menghormati institusi raja atau Sultan. Saya ingin menegaskan bahawa DAP sentiasa menghormati institusi raja dan menghormati Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor," katanya.
Loke ditemui pada Majlis Makan Malam Amal DAP Kinrara di Pusat Bandar Puchong malam ini, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, dan Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. — Bernama



